Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa kementeriannya komited dalam usaha untuk memenuhi aspirasi dan kehendak belia di seluruh negeri Sabah, khasnya dalam membangun serta memenuhi semua keperluan yang berkepentingan untuk belia.
“Untuk itu, hari ini dalam persidangan ini, kita dengar dan pilih lima usul yang dibawakan oleh wakil-wakil belia kita yang mana kesemuanya adalah bertujuan untuk memenuhi aspirasi belia.
“Kita amat berharap, semua usul kita ini dapat dipertimbangkan dan dipenuhi kerana belia-belia kita di Sabah khususnya adalah antara golongan yang mempunyai banyak idea dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara, Peringkat Negeri Sabah, Penggal ke-35, Sesi 2025-2026, di sini, hari ini.
Menurut Nizam, antara lima usul yang diketengahkan adalah menyeluruh dan memfokuskan kepada usaha membangun komuniti belia secara keseluruhan.
“Pertama, usaha memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.
“Kedua, pembangunan pusat hab keusahawanan digital, ketiga berkaitan kursus pendidukan dan latihan kemahiran TVET, keempat penyelarasan semula kadar tambang pengangkutan udara kepada belia.
“Dan kelima, kita bawakan usul untuk memperluas bantuan yuran peperiksaan khasnya peperiksaan Bahasa Inggeris (MUET) untuk persediaan ke universiti bagi belia-belia di Sabah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nizam turut menegaskan bahawa kementeriannya juga berusaha untuk menekankan usul berkaitan harga tiket penerbangan kerana isu itu masih menjadi antara kekangan besar bagi pergerakan belia-belia Sabah.
“Banyak aktiviti di luar dari negeri Sabah dan bila melibatkan program seumpama ini, memang belia-belia kita akan berdepan masalah kerana harga tiket penerbangan masih mahal.
“Jadi kita harap, rundingan dan perbincangan kita yang mengenalpasti kesemua usul ini, mampu dibawakan dan diberi perhatian oleh pihak berwajib.
“Hal ini penting untuk kita memastikan golongan belia-belia tempatan kita di Sabah, mampu bergerak maju seiring dengan belia-belia lain, tanpa berdepan masalah yang sepatutnya boleh diatasi,” ujar beliau lagi.
Seramai 102 ahli jawatan kuasa belia dari seluruh negeri Sabah hadir semasa persidangan yang berlangsung selama sehari itu.
