Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Konsep Ikan Rakyat Sabah yang diperkenal oleh Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) adalah sebuah usaha yang dibawa dengan tujuan untuk menawarkan jualan ikan berkualiti dengan harga rahmah kepada pengguna.
Ahli Lembaga Pengarah SAFMA, Halizah Din berkata, konsep itu dirangka untuk menjadi usaha dalam memperkukuh hubungan antara hasil perikanan tempatan, nelayan, pengusaha dan masyarakat.
“Kita mahu jualan sumber laut terutamanya ikan-ikan yang sememangnya menjadi sumber protien harian rakyat, boleh dibeli dengan harga yang berpatutan dan murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di reruai SAFMA semasa pameran jualan BigSabah Sale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.
Menurut Halizah, inisiatif itu turut memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan ikan dengan lebih mudah, selain mengenali kepelbagaian hasil perikanan Sabah.
“Ikan merupakan sumber makanan penting dan sebahagian daripada kehidupan masyarakat, khususnya komuniti pesisir pantai.
“Pada masa sama, sektor perikanan menjadi sumber mata pencarian nelayan serta pengusaha yang terlibat dalam rantaian bekalan dan pemasaran hasil laut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Halizah juga turut berkongsi bahawa SAFMA sentiasa komited dalam usaha untuk membekalkan hasil laut yang segar dan dengan harga berpatutan, selain daripada menyokong kesinambungan industri perikanan di Sabah.
“SAFMA sentiasa berusaha untuk memperluas akses kepada hasil perikanan tempatan turut membantu meningkatkan penghargaan pengguna terhadap hasil laut Sabah dan menyokong kesinambungan industri berkenaan.
“Konsep ini juga membawa aspirasi supaya bekalan ikan dapat dipasarkan dengan lebih tersusun dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya.
Selain jualan ikan, reruai SAFMA juga menyediakan pameran maklumat mengenai perkhidmatan syarikat serta kaunter pendaftaran Rakan Niaga SAFMA.
Pengunjung boleh mendapatkan penerangan mengenai peluang kerjasama dalam rangkaian pemasaran hasil perikanan.
