Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Bidang solekan berpotensi menjadi kerjaya yang mampu menjana pendapatan, selain membina keyakinan diri dan membuka ruang kepada wanita mengembangkan kreativiti.
Pengasas Canvas Atelier, Noor Shaffienas Awang, berkata kerjaya sebagai jurusolek profesional atau make-up artist (MUA) tidak seharusnya dianggap sebagai pekerjaan sampingan semata-mata kerana industri itu menawarkan peluang untuk membina perniagaan dan menjana pendapatan.
“Bagi saya, minat, kemahiran dan kesungguhan untuk terus belajar penting bagi mereka yang mahu menceburi bidang solekan. Industri itu juga terbuka kepada semua, termasuk golongan lelaki yang turut mendapat permintaan sebagai MUA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Master Class with Wisma Rias Syahfitri anjuran Canvas Atelier di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Khamis.
Program itu menampilkan demonstrasi teknik solekan profesional dan terkini bersama Bunda Ulfi, selain sesi praktikal untuk peserta.
Tetamu kehormat program itu, Datin Saadiah Abdul Rashad, yang baru-baru ini menerima pengiktirafan dalam Buku 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026, berkata kelas solekan bukan sekadar mengajar teknik, tetapi turut membina keyakinan diri dan membuka peluang ekonomi kepada wanita.
“Wanita yang yakin dengan penampilan diri akan lebih berani bersuara, berniaga dan memimpin.
“Kemahiran solekan pula boleh membawa seseorang menjadi MUA profesional, mengusahakan butik pengantin atau membina perniagaan sendiri,” katanya ketika merasmikan program itu.
Beliau berkata, industri kecantikan dan solekan merupakan sebahagian daripada ekonomi kreatif yang berpotensi membantu meningkatkan pendapatan individu serta ekonomi keluarga.
Saadiah turut memuji Canvas Atelier milik Noor Shaffienas kerana menyediakan platform untuk peserta mempelajari kemahiran baharu dan meneroka peluang dalam bidang berkenaan.
“Jangan takut untuk bermula dari bawah. Teruskan belajar dan gunakan ilmu yang diperoleh. Jadikan berus solekan sebagai alat untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga,” katanya lagi.
Program itu turut merangkumi sesi perkongsian tentang penjenamaan diri, persembahan khas Cha Cha Dam serta penilaian hasil solekan peserta.
Pada majlis penutupan, sijil penyertaan dan hadiah disampaikan kepada para pemenang.
Bagi kategori Best Makeup, lima nama yang disenaraikan ialah Maryam Jameela, Kimberly Makeover, FIFI Makeover, Johammy Julis dan Jason Jace.
Best Self Makeup menerima pengiktirafan Dayangkel Anis, manakala Most Valuable Student diberikan kepada Siti Fadzeah Jumadin.
Kimberly Makeover turut menerima pengiktirafan Best Appearance Model, sementara Best Appearance Student diberikan kepada Mohd Ashraf Mastan.
Program itu diharap memberi manfaat kepada peserta dan menjadi langkah awal untuk mereka membina kerjaya serta menjana pendapatan dalam industri solekan.
