Azizah mahu lebih ramai wanita dalam kepimpinan GRS

KOTA KINABALU: Lebih ramai wanita perlu diberi peluang memegang peranan kepimpinan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain memperkukuh kerjasama dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata kerjasama erat antara kepimpinan wanita penting bagi memastikan gerak kerja gabungan itu tersusun dan sampai kepada masyarakat.

“Usaha mendekati akar umbi perlu diteruskan supaya suara, keperluan dan aspirasi masyarakat dapat difahami dengan lebih dekat.

“Wanita di lapangan berperanan menghubungkan kepimpinan parti dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), di sini, hari ini.

Menurut Azizah, penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan turut membawa pelbagai pandangan dan pengalaman dalam proses membuat keputusan.

“Peranan wanita perlu diperkukuh di semua peringkat bagi membantu membina GRS yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya lagi.

Tinggalkan Jawapan