Pertahankan kerjasama parti tempatan demi agenda rakyat Sabah: Azizah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan di Sabah digesa untuk terus memperkukuh dan mempertahan kerjasama sedia ada bagi memastikan segala agenda serta perjuangan demi kepentingan rakyat di negeri ini dapat direalisasikan sepenuhnya. 

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, menegaskan bahawa kesepakatan itu amat kritikal, terutamanya dalam memacu usaha menuntut hak-hak negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, komitmen bersama daripada semua jentera parti tempatan juga amat diperlukan bagi memastikan tuntutan pulangan hak 40 peratus hasil Sabah dapat dijayakan. 

“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja kuat sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan. 

“Sebab itu, gabungan dan kesepakatan ini mesti kita pertahankan bersama,” kata Azizah yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas menerima kunjungan hormat daripada barisan Exco Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), di sini, hari ini.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Ketua Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom, yang berlangsung di pejabat Wisma IDS, Kota Kinabalu. 

Mengulas lanjut, Azizah mengingatkan semua kepimpinan dan ahli parti supaya mengetepikan sebarang kepentingan peribadi serta perbezaan fahaman politik demi kelangsungan kerjasama berkenaan. 

“Langkah ini ujarnya, penting bagi memastikan fokus utama kepimpinan sentiasa terarah kepada usaha mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Sabah,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, pembentukan struktur GRS yang menghimpunkan pelbagai parti tempatan di bawah satu payung jelas mencerminkan tahap kematangan landskap politik di negeri berkenaan. 

“Sinergi yang terjalin itu secara tidak langsung membolehkan semua pihak mencari titik persamaan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan dan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia. 

“Semangat ini sebenarnya amat selari dengan prinsip ‘Sabah First’ dan hala tuju pembangunan di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Dengan adanya sebuah kerjasama yang kukuh, kita berupaya melaksanakan pelbagai usaha holistik untuk kemakmuran serta kemajuan negeri,” jelas beliau.

Pertemuan tersebut turut menyaksikan perbincangan dua hala mengenai pemerkasaan wanita dan peranan institusi penyelidikan dalam menyokong dasar-dasar Kerajaan Negeri. 

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Wanita UPKO Prisca Papaya, dan Penolong Setiausaha Wanita GRS Salmah Sait. 

Tinggalkan Jawapan