Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang tahun adalah mencerminkan kemajuan luar biasa pelaksanaan agenda pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Kejayaan tersebut turut disusuli dengan peningkatan ketara prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah yang melonjak daripada 52.07 peratus pada 10 Ogos lalu kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peningkatan sebanyak 19.71 peratus dalam tempoh kurang tiga bulan itu amat membanggakan dan memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan.
Menurut beliau, momentum positif itu membuktikan kesungguhan pentadbiran dalam memastikan setiap projek pembangunan yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa kejayaan menyiapkan ratusan projek berkenaan adalah hasil daripada jalinan kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk pembabitan aktif kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.
Antara projek berimpak tinggi yang dilaporkan telah siap sepenuhnya termasuklah pembinaan Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu yang kini sedia untuk digunakan.
Turut disiapkan ialah projek Sekolah Kebangsaan (SK) Buit Hill di Penampang, yang bakal menyediakan kemudahan pendidikan yang jauh lebih kondusif kepada masyarakat setempat, khususnya generasi muda.
Sehubungan itu, Nizam turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri atas perhatian berterusan dan pemantauan rapi yang diberikan terhadap keseluruhan agenda pembangunan di negeri berkenaan.
Beliau berkata, penekanan Hajiji terhadap kecekapan pelaksanaan projek, penyelarasan yang mantap antara agensi serta penggunaan peruntukan secara optimum menjadi faktor utama kepada kejayaan ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Ketua Menteri dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah agar semua kementerian dan agensi pelaksana mempergiat usaha mengekalkan prestasi berkenaan.
Langkah menetapkan tindakan penyelesaian yang jelas bagi setiap cabaran dalam projek amat penting kerana pendekatan berorientasikan hasil ini akan memastikan perancangan kerajaan diterjemahkan kepada manfaat sebenar rakyat.
Seterusnya, Nizam menyambut baik peningkatan peruntukan kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang berjumlah RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada tahun 2026.
Katanya, keutamaan bajet kepada projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek STATCOM di Sandakan dan Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang amat dialu-alukan bagi merancakkan ekonomi negeri.
Di samping itu, peruntukan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, diharap dapat melonjakkan kualiti pendidikan dan kebajikan pelajar di kawasan luar bandar.
Nizam menzahirkan keyakinan bahawa dengan sinergi erat yang berterusan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, momentum pembangunan ini akan terus mampan bagi memperluas infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Sabah.
