Oleh: Zacherlyn Ad
SEMPORNA: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) berhasrat menceburi dan memperluaskan penglibatan dalam industri perikanan menerusi kerjasama strategik dengan institusi kewangan bagi meneroka peluang perniagaan serta pelaburan berpotensi.
Langkah itu penting bagi membolehkan syarikat milik kerajaan negeri berkenaan mengenal pasti peluang yang berdaya maju dalam sektor perikanan, termasuk industri berkaitan rumpai laut.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, jalinan kerjasama dengan institusi kewangan seperti Agrobank amat diperlukan bagi membuka ruang yang lebih luas kepada pasaran komoditi itu.
“Jalinan kerjasama seumpama ini akan membuka ruang untuk SAFMA sendiri dalam menambah serta meningkatkan lagi sektor perikanan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengurus Agrobank Cawangan Semporna, Donny Abbie, sempena lawatan kerja pengurusan SAFMA ke daerah ini, hari ini.
Menurut Burhan pertemuan berkenaan memberi peluang terbaik kepada kedua-dua belah pihak untuk bertukar pandangan mengenai potensi sebenar industri perikanan yang terdapat di Semporna.
Katanya, ia termasuk memperincikan bentuk kerjasama yang boleh diterokai secara bersama dari sudut penyediaan pembiayaan, pembangunan projek dan ruang perniagaan baharu.
“SAFMA mahu bergerak lebih jauh dengan meneroka peluang dalam industri perikanan yang berasaskan komersial berskala besar.
“Untuk mencapai hasrat itu, kita memerlukan jaringan kerjasama yang kukuh, termasuk dengan institusi kewangan yang mempunyai kepakaran serta kemudahan pembiayaan dalam sektor agro dan perikanan,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, langkah proaktif itu diharap dapat membuka ruang kepada SAFMA untuk mengenal pasti projek yang berpotensi dan mempunyai daya saing yang tinggi.
Selain itu, katanya, usaha berkenaan mampu mewujudkan peluang ekonomi yang lebih mampan kepada golongan nelayan, pengusaha rumpai laut serta usahawan tempatan di daerah ini.
Burhan turut menegaskan bahawa Semporna sememangnya mempunyai potensi yang sangat besar dalam industri perikanan dan rumpai laut untuk dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi.
“Potensi ini boleh melonjak melalui pendekatan komersial serta kerjasama antara agensi, institusi kewangan dan pemain industri yang terlibat,” jelasnya.
Selain itu, Burhan juga memberitahu bahawa SAFMA akan terus meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkukuh kedudukan syarikat, selain memberi nilai tambah kepada hasil perikanan Sabah demi manfaat ekonomi masyarakat setempat.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat yang turut melawat tapak projek pelabuhan SAFMA di Semporna.
