SAFMA tinjau keperluan peralatan nelayan di Tawau perkukuh ekosistem perikanan

Oleh: Zacherlyn Ad

TAWAU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) terus memperluaskan tinjauan lapangannya bagi memahami keperluan sebenar komuniti nelayan tempatan dalam usaha memperkukuh ekosistem industri perikanan di negeri ini.

Langkah proaktif itu diambil bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan golongan nelayan sentiasa terbela menerusi rantaian industri yang lebih cekap dan menyeluruh.

Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, berkata pihaknya telah mengadakan lawatan khas ke beberapa premis menjual peralatan menangkap ikan di Jalan Pasar, di sini pada Khamis dan pelbagai aspek serta keperluan turut diambil kira untuk pertimbangan.

“Tinjauan kita pada pagi ini adalah bertujuan untuk melihat sendiri jenis peranti serta peralatan menangkap ikan yang sedia ada di pasaran Tawau ketika ini.

“Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform untuk mengenal pasti keperluan sebenar yang mendesak dalam kalangan nelayan di daerah berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa membuat tinjauan premis jualan peralatan menangkap ikan, di sini, hari ini.

Burhan menjelaskan bahawa usaha membangunkan industri perikanan di Sabah tidak seharusnya mengehadkan fokusnya kepada aspek pemasaran hasil laut semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan pasukannya perlu melihat gambaran yang lebih besar iaitu keseluruhan rantaian industri berkenaan termasuk kemudahan logistik nelayan.

Pihaknya percaya penyediaan peralatan yang bersesuaian dan mencukupi adalah asas penting sebelum hasil tangkapan dapat dioptimumkan untuk pasaran domestik.

“Nelayan merupakan antara pemain utama dalam rantaian bekalan makanan negara yang tidak boleh dipinggirkan dalam mana-mana pelan perancangan industri.

“Justeru, kita perlu turun ke lapangan untuk memahami keperluan mereka dan mengenal pasti ruang yang boleh diterokai bagi membantu meningkatkan produktiviti,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai rombongan SAFMA melakukan tinjauan di premis Jalan Pasar, di sini.

Menurut Burhan, langkah turun padang itu juga diharapkan mampu memberikan impak positif dalam usaha melonjakkan pendapatan bersih golongan nelayan terbabit.

“SAFMA komited melihat pembangunan sektor perikanan secara holistik, bermula daripada kebajikan nelayan sehinggalah produk sampai ke tangan pengguna.

“Daerah Tawau juga katanya mempunyai potensi geografi yang sangat besar dalam sektor perikanan yang mampu memacu ekonomi setempat sekiranya diuruskan dengan baik.

“Bagaimanapun, usaha memperkukuh industri terbabit tidak boleh digalas oleh SAFMA bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak berkepentingan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan Jawapan