Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) merangkap pengerusi penganjur BigSabah Sale 2026, Datuk Rosmawati Lasuki memberitahu bahawa pihaknya mensasarkan target kehadiran pengunjung bagi acara yang bakal berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November ini sebanyak 100 ribu pengunjung.
Katanya, acara tahunan itu bakal melibatkan lebih 600 peserta pameran reruai.
“Cita-cita kita adalah untuk memberi nilai tambah kepada platform yang kita bina untuk meluaskan pasaran perniagaan.
“Di samping itu, usaha ini juga melibatkan perhubungan fasiliti serta peluang dalam memperluas jaringan bagi pasaran serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Sidang Media BigSabah Sale 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, dengan bertemakan “Merentas Pasaran, Meluaskan Sempadan”, itu turut memberi gambaran kedudukan strategik Sabah dari segi geografi dan hubungan ekonomi bersama Brunei, Indonesia dan Filipina.
“Kita target untuk lebih memperkasa akses pasaran ke rangkaian yang lebih luas.
“Selain itu, kita juga ingin memperkenal produk para peserta kita, menambah capaian pelanggan yang berpotensi dan mengenalpasti peluang rakan kongsi baru,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa BigSabah Sale turut dijangka mampu menyumbang kepada peningkatan momentum pelancongan Sabah.
“Setakat Ogos tahun ini sahaja, Sabah merekodkan kemasukan pelancong sebanyak 2,556,823 orang, iaitu pertambahan sebanyak 4.1 peratus, termasuk 1,100,545 orang atau pertambahan 6.9 peratus daripada kemasukan antarabangsa.
“Ini juga antara sebab kenapa pentingnya untuk pameran atau aktiviti dilaksanakan, bukan hanya sekadar melihat kepada kehadiran pengunjung, tetapi dengan impak lebih menyeluruh.
“Dalam masa sama, hubungan perniagaan yang terjalin juga berpotensi untuk memberi nilai tambah kepada peluang di masa akan datang,” jelasnya lagi.
Antara program menarik yang akan berlangsung adalah seperti Pesta Buku Big Bad Wolf, AI Business Scale-up Bootcamp, 5th Rdition of Car Culture Festive 2026, forum agro dan perdagangan, pertunjukan fesyen, bengkel persembahan elit, bengkel protokol, bengkel etika meja makan, pertandingan e-sukan dan asah bakat, serta banyak lagi.
