Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Warisan budaya adalah harta tidak ternilai yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi baharu agar identiti masyarakat peribumi Sabah tidak hilang ditelan arus kemodenan.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, kepesatan pembangunan dan ledakan dunia digital masa kini tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan asal usul.
Beliau juga mengingatkan, kemajuan teknologi yang pesat sama sekali tidak boleh menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada akar budaya, adat resam dan jati diri mereka.
“Kita boleh mengejar pembangunan dan kemajuan, tetapi jangan sampai kehilangan identiti sendiri kerana budaya melambangkan siapa kita dan dari mana asal kita.
“Generasi muda perlu menjadi pewaris dan penjaga budaya, manakala teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan warisan kita kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 (PBAKK 2026) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.
Mengulas lebih lanjut, Japlin berkata, penganjuran program sedemikian menjadi platform penting untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya serta khazanah warisan unik yang dimiliki oleh masyarakat Borneo.
“Saya menyeru agar kita semua pandang serius dan bagi dorongan, dan galakan kepada usaha untuk segala khazanah berkenaan direkod serta didokumentasikan dengan lebih sistematik untuk rujukan generasi akan datang.
“Ini sangat penting kerana usaha dokumentasi itu tidak lain tidak bukan adalah bagi memastikan segala amalan tradisi, kesenian, dan nilai murni masyarakat tidak pupus begitu sahaja,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai etniknya, Japlin juga menjelaskan bahawa masyarakat Bajau Samah juga mempunyai identiti tersendiri yang sarat dengan keunikan tersendiri.
“Komuniti itu (Bajau Samah) memiliki khazanah budaya yang cukup bernilai dan perlu terus dipelihara serta diketengahkan sebagai sebahagian daripada kekayaan identiti negeri Sabah.
“Kita semua perlu tahu dan sedar bahawa perbezaan latar belakang budaya dalam kalangan penduduk Sabah sepatutnya menjadi ejen penyatu, bukannya elemen yang merenggangkan hubungan.
“Kepelbagaian budaya bukan pemisah, tetapi kekuatan kita dan pembangunan boleh mengubah wajah negeri, serta teknologi mengubah cara hidup, tetapi warisan serta budaya menentukan siapa kita,” tambah beliau lagi.
