Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkasakan agenda pendidikan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) disifatkan sebagai satu pelaburan masa depan yang amat penting demi memacu agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata langkah proaktif itu jelas membuktikan bahawa aspek pembangunan modal insan sentiasa diletakkan sebagai keutamaan tertinggi oleh kepimpinan negeri.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, serta seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri atas kesungguhan menyuburkan ekosistem pendidikan anak-anak tempatan.
Mengulas lanjut, Azizah turut memperincikan pencapaian cemerlang TPNS yang mana agensi berkenaan telah berjaya menyalurkan peruntukan bantuan yang besar bagi tempoh antara tahun 2022 hingga Ogos tahun ini.
“Sepanjang tempoh berkenaan, dana terkumpul melebihi RM40.16 juta dilaporkan telah diagihkan dengan jayanya, sekali gus memberi manfaat perlindungan pendidikan kepada seramai 27,781 penerima di seluruh negeri.
“Trend peningkatan itu turut diteruskan bagi fasa gerak kerja sepanjang tahun ini apabila merekodkan jumlah agihan dan bilangan penerima yang amat signifikan bagi tempoh lapan bulan pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 sahaja, seramai 11,383 penerima dilaporkan telah mendapat manfaat dana berkenaan yang membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM15.89 juta.
Tambahnya, perangkaan rasmi serta suntikan dana yang berterusan itu menjadi bukti sahih bahawa pengisian sektor pendidikan di bawah pentadbiran semasa tidak pernah diabaikan, malah terus dilonjakkan.
“Falsafah pembangunan holistik sesebuah negeri tidak seharusnya bersandarkan kepada kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan kemajuan struktur pemikiran rakyatnya.
“Pembangunan Sabah bukan setakat membina jalan dan jambatan.
“Kita juga perlu membangunkan anak-anak Sabah melalui pendidikan bagi melahirkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran tinggi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azizah juga menjelaskan bahawa pemerkasaan TPNS yang dilaksanakan secara konsisten membolehkan lebih banyak peluang dibuka kepada anak-anak muda Sabah untuk membina masa depan berasaskan kecemerlangan akademik dan sahsiah.
Katanya, rantaian bantuan pendidikan di negeri itu turut diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif khusus lain termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Bantuan Tunai Pendaftaran IPTA (BUDI) dan Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa-Guru (BAIK).
“Turut menyokong ekosistem ini ialah Bantuan Kotak Sentuhan Kasih (BAKTI), subsidi tambang penerbangan mahasiswa GRS-SUBFLY serta program SENTOSA yang secara keseluruhannya dirangka bagi meringankan beban kewangan keluarga luar bandar dan pedalaman.
“Kita yakin dan percaya, semua usaha ini adalah sebagai pelaburan masa depan negeri kita, untuk manfaat anak-anak kita yang kelak bakal menerajui pembangunan serta kepimpinan Sabah,” ujar beliau lagi.
