Sukan Asia 2026: Emas Adeola bukti anak Sabah mampu gegar pentas dunia

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Kejayaan cemerlang atlet karate kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun menjadi bukti jelas anak-anak Sabah mampu mencipta impak di pentas dunia.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata pencapaian luar biasa atlet berusia 20 tahun itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri ini, malah memperlihatkan bakat besar serta disiplin tinggi yang dimiliki anak tempatan.

Beliau menegaskan bahawa dengan adanya peluang, sokongan moral, latihan yang sistematik serta ruang pembangunan berterusan, atlet muda Sabah mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh terbaik di peringkat Asia dan dunia.

“Adeola membuktikan anak Sabah mampu pergi jauh. Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan peribadi beliau, tetapi kemenangan yang cukup membanggakan bagi seluruh negeri Sabah dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Adeola mencipta sejarah besar apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang sedang berlangsung di Jepun.

Kejayaan mutlak itu hadir selepas beliau mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, dengan keputusan 6-4 dalam aksi final acara kumite wanita bawah 55 kilogram di Gimnasium Toyohashi.

Sebelum mengesahkan slot ke perlawanan akhir, Adeola terlebih dahulu mempamerkan kebangkitan apabila menewaskan atlet Kazakhstan, Bella Samasheva, 5-4 pada peringkat separuh akhir.

Konsistensi beliau sudah pun terserlah pada pusingan terdahulu apabila melakar kemenangan besar 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait, sebelum menundukkan pencabar dari Uzbekistan, Sevinch Rakhimova, dengan keputusan sengit 8-7.

Azizah berkata, pencapaian berkenaan amat bermakna kerana ia memperlihatkan perkembangan karier Adeola yang sangat konsisten, bermula daripada mewakili Sabah di peringkat domestik sehinggalah diberi kepercayaan menggalas nama negara.

Pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 sebelum ini, Adeola cemerlang meraih emas acara kumite wanita -61kg, selain turut membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah menggondol pingat emas.

“Daripada gelanggang SUKMA membawa nama Sabah, kini Adeola berdiri di pentas Sukan Asia membawa Jalur Gemilang. Kejayaan beliau membawa mesej bahawa asal-usul bukan penghalang untuk mengejar kejayaan tertinggi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azizah mahu kejayaan ini dijadikan pemangkin untuk memperkukuh program pembangunan sukan di Sabah, khususnya dalam usaha mencungkil bakat muda di kawasan daerah serta luar bandar.

Tambah beliau, kejayaan manis di Aichi-Nagoya ini turut meneruskan momentum positif Adeola selepas meraih gangsa di Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menamatkan penantian emas karate wanita Sukan Asia negara sejak kali terakhir dimenangi Syakilla Salni pada edisi Incheon 2014.

Tinggalkan Jawapan