Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menegaskan bahawa pengurusan sisa di Sabah memerlukan pendekatan yang berbeza mengikut kesesuaian daerah dan tidak boleh menggunakan satu penyelesaian sama untuk semua kawasan.
Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kepelbagaian pendekatan amat penting kerana isu pengurusan sisa dilihat serta dialami secara berbeza bergantung kepada lokasi dan keadaan setempat.
“Sebagai contoh, tapak pelupusan Kayu Madang di Kota Kinabalu yang menampung sisa dari Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan, dan Kota Belud dilaporkan menerima kira-kira 800 tan sisa setiap hari.
“Pada awal tahun ini, kebimbangan turut dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa tapak seluas 115 ekar itu kini semakin menghampiri kapasiti maksimumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program perbincangan meja bulat anjuran bersama IDS dan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan hal itu, Azizah juga menjelaskan bahawa cabaran pengurusan sisa berubah secara drastik apabila bergerak ke daerah lain, seperti bekas tapak pelupusan Sungai Sibuga di Sandakan yang pernah menerima sehingga 500 tan sisa sehari ketika waktu puncak operasinya.
Katanya, daerah Pitas kini berhadapan isu pembuangan sisa secara terbuka di kawasan pesisir pantai, manakala Semporna pula berdepan kekangan infrastruktur pelupusan sisa terutamanya di kawasan kepulauan.
“Kunak mengenal pasti sampah sebagai punca utama pencemaran marin, manakala Lahad Datu pula perlu mempertimbangkan pusat pengumpulan sisa di luar kawasan perkadaran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya lagi.
Selain itu, Azizah turut menyatakan bahawa penyelesaian yang direka untuk kawasan bandar dengan ratusan tan sisa sehari belum tentu sesuai untuk diaplikasikan di komuniti pulau atau luar bandar yang masih bergelut mendapatkan perkhidmatan kutipan sisa teratur.
Dalam pada itu, Azizah memaklumkan bahawa IDS bukan asing dalam isu ini kerana pernah terlibat membangunkan Kerangka Dasar Pengurangan Plastik di Tuaran untuk Pejabat Daerah Tuaran pada tahun 2025.
Katanya, pengalaman bersama inisiatif Zero Waste Sabah itu membuktikan bahawa tindakan komuniti dan kepimpinan tempatan amat penting untuk mengurangkan jumlah sisa sebelum ia memasuki sistem pelupusan.
Azizah turut menyarankan agar kerajaan memanfaatkan mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk memperkukuh peranan pengasingan sampah di peringkat akar umbi.
Sementara itu, beliau menyambut baik peningkatan minat terhadap teknologi baharu seperti cadangan kemudahan biogas di Kayu Madang yang mampu menghasilkan tenaga elektrik sehingga 2 megawatt, selain kaedah insinerasi di Pitas, Kunak, dan Semporna.
Bagaimanapun, Azizah mengingatkan bahawa teknologi semata-mata tidak memadai tanpa sistem kutipan sisa yang boleh dipercayai, pengasingan yang betul, serta pembahagian tanggungjawab yang jelas antara institusi.

Seramai 70 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan penyelidik turut serta dalam acara yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Maijol Mahap mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
