KOTA KINABALU: Pengurusan sisa di Sabah kini memerlukan anjakan perspektif yang lebih luas dan tidak boleh lagi dilihat sekadar melibatkan aktiviti memungut serta melupuskan sampah semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, isu berkenaan sebenarnya berkait rapat dengan kelestarian alam sekitar, tadbir urus, ekonomi serta kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh.
“Bagi menangani cabaran itu, IDS dengan kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia bakal menganjurkan seminar dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertajuk “Trash Talk to Action: Understanding Sabah’s Changing Waste Management Landscape”.
“Program ini dijadualkan berlangsung pada 21 September ini di Le Méridien Kota Kinabalu, bakal menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), ahli akademik dan pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, program itu turut melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, komuniti setempat serta rakan pembangunan bagi memastikan realiti sebenar cabaran pengurusan sisa di negeri ini dapat difahami secara kolektif.
Dalam pada itu, Ramzah juga menjelaskan, perubahan pesat kawasan bandar, corak penggunaan masyarakat dan tekanan terhadap alam sekitar ketika ini menuntut satu pendekatan baharu yang lebih menyeluruh mengikut realiti daerah masing-masing.
Beliau berkata, Sabah mempunyai keunikan dan cabaran tersendiri disebabkan faktor geografi, tahap pembangunan infrastruktur, keupayaan institusi serta akses perkhidmatan pengurusan sisa yang berbeza-beza.
“Tanggungjawab mengurus sisa ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan atau PBT semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen bersepadu daripada sektor perniagaan, masyarakat sivil serta setiap individu.
“Antara fokus utama pengisian program itu nanti termasuklah perbincangan mengenai perubahan landskap alam sekitar, pengurusan sisa peringkat tempatan dan kaedah mampan bagi komuniti di kawasan kepulauan,” katanya lagi.
Tambah beliau, cabaran pengurusan sisa di kawasan luar bandar utama serta perkongsian pengalaman sebenar masyarakat di peringkat lapangan turut akan diketengahkan.
“Satu sesi FGD khas bertajuk “One State, Different Waste Realities” (Satu Negeri, Realiti Sisa yang Berbeza) juga akan diadakan bagi memperincikan perbezaan jurang cabaran antara daerah dan komuniti,” jelasnya.
Katanya, pengumpulan maklumat dan pandangan di peringkat akar umbi ini amat kritikal untuk membentuk pemahaman yang tepat sebelum perbincangan diperluaskan ke peringkat tadbir urus dan pelaksanaan jangka panjang.
“Melalui peranan IDS sebagai badan pemikir kerajaan, data dan hasil perbincangan daripada program ini akan dijadikan asas rujukan penting bagi menyokong proses gubalan dasar pembangunan Sabah berasaskan penyelidikan ilmiah.
“Kesan isu sampah ini amat besar terhadap imej negeri dan kualiti hidup, justeru dialog yang digerakkan bersama KAS Malaysia ini diharap dapat menterjemahkan perbincangan teoritis kepada tindakan yang praktikal,” ujar beliau lagi.
