Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Usaha meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat disambut baik bagi memastikan suara rakyat di kawasan pedalaman dan terpencil dapat dibawa dengan lebih berkesan.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, penambahan kerusi Parlimen itu amat penting dalam memberikan impak langsung kepada penyampaian khidmat masyarakat di peringkat Persekutuan.
Katanya, pengumuman mengenai persetujuan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu memberikan sinar baharu kepada landskap politik dan pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.
“Kita mengalu-alukan apa yang telah disebut oleh Perdana Menteri berkenaan keputusan Kabinet mengenai penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak.
“Harapan saya supaya ia menjadi kenyataan dalam masa yang secepat mungkin demi kepentingan rakyat keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah majlis, di sini malam tadi.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pelaksanaan agenda besar tersebut sudah tentu perlu melalui beberapa prosedur perundangan yang ketat termasuk proses di Parlimen.
Langkah berkenaan turut melibatkan keperluan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta pembentangan rasmi untuk perbahasan ahli-ahli politik kelak.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bahawa penambahan wakil rakyat di kawasan tertentu secara langsung membantu membawa isu setempat kepada perhatian kerajaan dengan lebih khusus.
Beliau turut menekankan bahawa wakil rakyat yang dekat dengan masalah setempat mampu menyampaikan keperluan masyarakat termasuk isu kemiskinan dengan lebih berkesan di Parlimen.
Beliau juga berharap agar lebih ramai wanita serta golongan muda yang berkelayakan dari Sabah berani melangkah ke depan untuk mewakili suara rakyat dengan matang dan berkesan.
“Apa yang penting adalah kita mahu pemimpin Sabah yang membawa suara kita di Parlimen adalah mereka yang berwibawa, berani, mengulas perihal fakta dan bersemangat waja dalam memperjuangkan Sabah dan rakyatnya,” ujar beliau lagi.
