Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Kajian pemetaan lokasi kemiskinan di Sabah yang dijalankan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) kini sudah mencapai kira-kira 40 peratus pelaksanaan dan disasarkan akan mencapai 50 peratus menjelang akhir tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata daripada kajian tersebut, beberapa daerah sudah dikenal pasti bagi diteliti secara lebih terperinci dalam aspek untuk mengeluarkannya daripada paras kemiskinan.
Menurut Azizah, kajian tersebut menumpukan kepada daerah yang mempunyai isu kemiskinan dan turut memperluaskan skop pengesanan ke kawasan penempatan yang lebih mikro.
“Langkah ini termasuk juga bagi usaha mengenal pasti kampung dan kawasan tertentu kerana kita perlu mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai lokasi serta kelompok masyarakat yang terjejas.
“Kita yakin, usaha ini amat penting bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya kemiskinan serta menentukan golongan yang terlibat di peringkat akar umbi dan dengan ini, penyelesaian tuntas mampu dirancang untuk hari mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas hadir dalam Majlis Apresiasi Media bersama IDS yang berlangsung di sini, malam tadi.

Tambah Azizah, langkah itu turut berpotensi dalam memberi idea kepada pihak berkaitan bagi usaha merangka dan mengolah pendekatan, sekaligus merancamh formula berkesan untuk membantu menangani isu kemiskinan.
“Kita fokus kepada perihal yang amat serius, iaitu kepada isu kemiskinan dan kerja-kerja kajian lapangan terhadap masalah ini sedang berjalan dengan lancar pada ketika ini.
“Beberapa daerah sudah pun kita kunjungi dan pegawai serta penyelidik kita dilapangan memberi perhatian khusus dalam melihat punca sebenar kemiskinan itu berlaku,” tambah beliau.
Selain itu, Azizah turut berkongsi bahawa proses pemetaan tersebut berjalan lancar kerana IDS sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan pejabat daerah di seluruh Sabah.
“Kerjasama ini penting untuk kita mendapatkan segala maklumat serta data yang tepat mengenai kawasan dan kampung yang disahkan menghadapi masalah kemiskinan.
“Kita mesti faham, bukan semua kawasan dalam sesuatu daerah itu miskin, sebaliknya ada tempat-tempat dan kawasan-kawasan tertentu sahaja yang mengalami masalah kemiskinan dan inilah yang sedang pasukan IDS lakukan, tidak lain tidak bukan adalah melakukan pemetaan mengenainya,” katanya lagi.
Tambah Azizah lagi, hasil terakhir kajian itu kelak bakal diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk membantu merangka program bantuan yang lebih bersasar.
“Pada akhirnya, kita berharap hasil
kajian ini kelak dapat membantu Kerajaan dalam mencari dan merangka solusi terbaik untuk mengatasi masalah kemiskinan di negeri Sabah,” ujar beliau lagi.
