25 Ketua Bahagian Gagasan Rakyat baru, termasuk empat muka baru

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pelantikan  25 Ketua Bahagian (Penaja) baru yang dilantik selepas penstrukturan semula bahagian parti mengikut kawasan Parlimen dan empat daripadanya adalah daripada muka baru.

Empat Ketua Bahagian (Penaja) tersebut ialah Kota Marudu (Saripin Magana), Putatan (Shah Alfie Yahya Ahmad Shah), Kalabakan (Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal) dan Semporna (Datuk Dr. Mohd Jasmin Julpin).

Menurut Hajiji, pengstrukturan semula itu adalah usaha yang dilakukan bagi memperkukuh struktur organisasi dan kepimpinan parti di peringkat bahagian.

Katanya, pemilihan 25 Ketua Bahagian itu adalah diputuskan selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti pengalaman, rekod perkhidmatan kepada masyarakat di akar umbi dan kemampuan menerajui organisasi.

“Semua Ketua Bahagian yang lama bagi 73 bahagian, yang mana tidak tersenarai sebagai Ketua Bahagian masih memainkan peranan sebagai tulang belakang parti di peringkat bahagian.

“Mereka akan memegang jawatan lain dan meneruskan tugas-tugas memperkasa dan menguatkan parti di peringkat bahagian,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di sini, petang tadi.

Menurut Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti itu akan terus bekerja keras untuk mendepani pilihan raya umum tahun hadapan.

Jelasnya, GRS akan terus bekerjasama dengan parti sekutu sedia ada di peringkat Kerajaan Negeri seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini kita akan terus bekerjasama dan perbincangan lanjut soal kerusi atau agihan atau apa saja yang lebih mendalam belum lagi diadakan.

“Untuk parti kita, kita fokus sebagai parti peneraju dan kita mesti bersedia di semua peringkat dan perbincangan teliti akan dibuat nanti bila tiba masanya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ketua Menteri turut menjelaskan bahawa parti itu tidak terkesan dengan tindakan pihak luar yang mana bukan daripada komponen GRS, yang menarik sokongan baru-baru ini.

“Dorang (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat/KDM) punya masalah la itu mau tarik sokongan atau apa, dan kita tidak peduli sebab mereka bukan dalam parti komponen GRS dan kita fokus untuk yang berkaitan dengan parti kita saja.

“Untuk pilihan raya akan datang, kita akan letak calon yang ada kredibiliti, calon yang boleh menang,” ujar beliau lagi.

 

Tinggalkan komen