KOTA KINABALU: PETRONAS menerusi program Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026 menyampaikan tajaan pendidikan kepada lebih 100 pelajar cemerlang dari Sabah bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Majlis penyampaian anugerah tajaan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Semasa berucap, James memberitahu bahawa kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja diukur berdasarkan pertumbuhan ekonominya semata-mata, malah dinilai melalui keupayaan membangunkan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS telah membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda Sabah untuk merealisasikan potensi mereka serta menyumbang kepada pembangunan masa depan negeri ini,” katanya.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Naib Presiden Kanan PETRONAS, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong.
Para penerima yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bakal melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia, United Kingdom dan Kanada.
Kesemua penerima bakal mengikuti pelbagai bidang kritikal termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, sains data, psikologi dan beberapa bidang lain.
Kumpulan pelajar terbabit dipilih menerusi proses penilaian yang amat ketat dan kompetitif berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Dalam pada itu, James turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada PETRONAS atas usaha berterusan dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti untuk generasi muda di negeri itu.
Pada majlis sama, syarikat petroleum nasional itu turut meraikan 22 pelatih baharu yang ditaja untuk mengikuti program Diploma Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC).
Langkah berkenaan jelas mencerminkan komitmen jitu PETRONAS dalam memperkukuh laluan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sejajar dengan keperluan industri semasa.
Selain itu, Biasiswa Kecil PETRONAS turut disampaikan kepada 25 pelajar sekolah menengah di Sabah bagi pengambilan sesi 2026/2027 bagi memperluas sokongan pada peringkat awal pengajian.
Inisiatif yang diperkenalkan sejak 2023 menerusi kerjasama PETRONAS Floating LNG, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah itu kini telah memberi manfaat kepada kira-kira 140 pelajar di seluruh negeri.
Sementara itu, Bacho juga menzahirkan rasa bangga melihat semakin ramai golongan muda Sabah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi membina masa depan yang lebih cerah untuk sosioekonomi yang inklusif serta mampan.
