PROTune perkasa budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar Sabah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNe) terus menjadi wadah penting dalam membentuk generasi muda Sabah yang berdaya saing, kreatif, dan berjiwa usahawan menerusi pendedahan awal dunia perniagaan.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda memaklumkan bahawa inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun 1997 itu telah berjaya melahirkan ramai pelajar berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan aspek kepimpinan dan komunikasi, malah turut diterapkan dengan ilmu pengurusan kewangan serta keyakinan tinggi untuk menceburi bidang keusahawanan.

Sepanjang tempoh sembilan bulan program berlangsung, setiap peserta diberi peluang keemasan untuk mengendalikan syarikat mereka sendiri secara praktikal bagi merasai pengalaman sebenar dunia perniagaan.

Pelajar turut bertanggungjawab membangunkan produk inovatif, menguruskan strategi pemasaran, menyediakan laporan tahunan, serta membentangkan prestasi syarikat masing-masing di hadapan barisan panel penilai profesional.

Jelas Redonah, PROTUNe bukan sekadar sebuah pertandingan untuk mencari pemenang semata-mata, sebaliknya ia merupakan medan terbaik dalam membentuk sahsiah, integriti, disiplin, dan daya tahan yang tinggi dalam diri pelajar.

“Langkah ini penting bagi memastikan mereka mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan yang baharu, sekali gus bertindak sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negeri pada masa hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick di Suria Sabah, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Haji Azrul Haji Ahmad serta Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting.

Sebanyak 15 syarikat pelajar dari seluruh pelosok Sabah telah berjaya menyertai konvensyen peringkat akhir itu selepas melalui pelbagai proses penilaian ketat termasuk pembentangan laporan tahunan syarikat.

Dalam perkembangan sama, Redonah mendedahkan bahawa Sabah kekal antara negeri yang komited meneruskan PROTUNe walaupun program berkenaan kini tidak lagi menerima sebarang peruntukan di peringkat Persekutuan.

Beliau turut menyeru agar lebih banyak syarikat korporat dan pemain industri tampil menyokong program ini melalui penajaan serta bimbingan mentor demi melahirkan lebih ramai pemimpin ekonomi masa depan.

Tinggalkan Jawapan