KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menjalinkan kerjasama strategik dengan North Borneo University (NBU) bagi memperkasa akademik peserta program Global Leadership for Outstanding Women (GLOW).
Kolaborasi itu dizahirkan menerusi satu lawatan kerja rasmi ke universiti berkenaan hari ini bagi membincangkan penawaran program pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang dikhususkan kepada peserta GLOW.
Rombongan delegasi itu diketuai Timbalan Pengerusi MPWS, Datuk Datin Fauziah Abu Bakar Titingan yang mewakili Pengerusinya, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPWS, Prof Dr Ts Imbarine Bujang serta Pengarah JHEWA, Haslina Ismail.
Ketibaan delegasi MPWS dan JHEWA disambut mesra barisan pengurusan tertinggi NBU yang diterajui Naib Presiden 1 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NBU, Prof Madya Doretty R Jiroh.
Inisiatif pengajian akademik peringkat tinggi itu adalah sebahagian daripada garis masa pelaksanaan pelan pemerkasaan MPWS GLOW yang sudah dirancang secara berfasa sejak tahun lepas.
Seramai 15 peserta wanita terpilih daripada Kluster Kepimpinan, Ekonomi dan Pendidikan disasarkan menyambung pengajian ke peringkat sarjana itu selepas melalui proses penyaringan dan bimbingan kepimpinan yang ketat.
Langkah berkenaan bertujuan meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi profesional kumpulan sasar terbabit sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin wanita di negeri ini.
Sesi perbincangan itu membuahkan hasil positif apabila pihak NBU menyatakan kesediaan serta berbesar hati menerima cadangan dikemukakan MPWS melalui program khusus berasaskan kaedah pembelajaran teradun (blended learning), laluan APEL dan pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sementara itu, Fauziah berkata, kerjasama terbabit diharap menjadi pemangkin kepada kemajuan modal insan wanita yang bakal memberi impak signifikan kepada pembangunan ekonomi serta sosial seluruh komuniti di Sabah.
“Kerjasama strategik antara MPWS, JHEWA, dan institusi pengajian tinggi seperti NBU ini diharap dapat melahirkan lebih ramai wanita berpendidikan tinggi, berdaya saing, dan berjiwa kepimpinan.
“Ia bukan sahaja memelihara kemajuan kerjaya individu, malah bakal memberi impak signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial seluruh komuniti wanita di negeri Sabah,” katanya.
