PETRONAS perkukuh kerjasama bangunkan bakat industri gas dan minyak

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: PETRONAS terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi pelancaran dua platform digital baharu yang dibangunkan bersama Kerajaan Negeri.

Inisiatif digital Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas (POMIGAS) serta Sabah Work Pass Online System itu dibiayai sepenuhnya oleh PETRONAS bagi memacu bakat tempatan.

Aplikasi POMIGAS diintegrasikan dengan sistem Sabah Job Portal bagi memudah cara akses peluang kerjaya serta latihan industri khusus untuk golongan belia dan graduan di negeri ini.

Platform tersebut bertindak menghubungkan pasaran bakat tempatan dengan keperluan industri semasa sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir bagi sektor minyak dan gas.

Sementara itu, Sabah Work Pass Online System diperkenalkan sebagai platform digital interaktif untuk memudah cara proses permohonan serta pengurusan dokumen pas kerja di Sabah.

Sistem itu membolehkan majikan mengemukakan dokumen dan memantau status kelulusan pas kerja secara langsung melalui penyelarasan bersepadu dengan pihak berkuasa buruh dan imigresen.

Pelancaran kedua-dua platform digital tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Awang Shahminan Datuk Awang Sahari.

Majlis berkenaan diadakan sempena persidangan Sabah Oil & Gas Industry Talent Alignment Forum (SOGITAF) 2.0 yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia Sektor Huluan PETRONAS, Maria Teo.

Menurut Awang Shahminan, kedua-dua platform digital tersebut mencerminkan keakraban kolaborasi antara kerajaan negeri dan syarikat petroleum negara dalam usaha memperkasa ekosistem modal insan di Sabah.

“Langkah bersepadu itu juga, jelas beliau, berupaya membuka ruang yang lebih luas kepada anak watan untuk menembusi pasaran kerja industri bernilai tinggi berkenaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab menegaskan komitmen berterusan PETRONAS dalam menyediakan pelbagai inisiatif latihan progresif demi melahirkan tenaga kerja tempatan yang mampan. 

“Pemerkasaan bakat berkemahiran tinggi ini penting bagi memastikan mereka sentiasa bersedia mendepani dinamika dan keperluan pasaran pada masa hadapan,” katanya. 

Pelaksanaan projek berimpak tinggi itu dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan sistem POMIGAS disahkan telah mula beroperasi sejak awal tahun ini.

Bagi sistem Sabah Work Pass Online System pula, platform digital pengurusan kemasukan tenaga kerja itu dijadualkan mula beroperasi sepenuhnya secara rasmi kepada pihak industri berkuat kuasa 1 September depan.

Tinggalkan komen