Bantuan Kacamata Cetus Sinar Baharu Pelajar Matunggong

Oleh: Zacherlyn Ad

MATUNGGONG: Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkasakan pembangunan modal insan yang sihat dan inklusif menerusi pelaksanaan program kesihatan komuniti, khususnya dalam memelihara kebajikan serta pasca-pembelajaran generasi muda di kawasan luar bandar.

Langkah itu diterjemahkan melalui Program Pemeriksaan Mata dan Penyampaian Sumbangan Kacamata Kepada Pelajar Sekolah Daerah Matunggong yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin, bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.

Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Dr. Rosmawati Lasuki yang hadir mewakili Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pelaburan terhadap aspek kebajikan dan kesihatan golongan kanak-kanak perlu diberi keutamaan.

Katanya, sejak usia muda memandangkan mereka merupakan aset paling bernilai serta bakal pemacu kemajuan ekonomi dan sosial negeri pada masa hadapan.

“Aspek kesihatan tidak hanya merangkumi pemakanan dan kecergasan fizikal semata-mata, malah penglihatan yang baik turut menjadi asas utama kepada kelancaran proses pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah.

“Sekiranya seseorang pelajar mengalami masalah rabun tetapi tidak disedari atau dirawat, mereka mungkin menghadapi kesukaran membaca di papan putih dan mengikuti pengajaran guru, sekali gus memberi kesan kepada pencapaian akademik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar lebih peka kerana terdapat kecenderungan menganggap anak-anak malas belajar, sedangkan mereka sebenarnya mengalami masalah penglihatan yang kabur.

“Ada dalam kalangan pelajar yang dianggap kurang memberi tumpuan atau malas belajar, sedangkan mereka sebenarnya tidak dapat melihat dengan jelas.

“Justeru, pengesan awal melalui pemeriksaan mata berkala amat penting,” jelas beliau.

Program berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan negeri di bawah aspirasi Sabah Maju Jaya melalui kerjasama strategik bersama Pejabat Daerah Kecil Matunggong, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), dan rakan korporat Specktruck Sdn Bhd.

“Setiap pasang kacamata yang disumbangkan bukan sekadar membantu pelajar melihat dengan lebih jelas, malah menjadi simbol harapan, keyakinan dan peluang untuk mereka melangkah lebih jauh dalam menuntut ilmu,” tambah beliau lagi.

 

Tinggalkan komen