LABUAN: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) memanfaatkan penyertaannya dalam Road to MAHA Labuan 2026 bagi memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) kepada masyarakat.
Inisiatif itu sekali gus memperluaskan kesedaran mengenai usaha agensi terbabit menyediakan bekalan ikan segar, berkualiti serta ditawarkan pada harga berpatutan.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan bekalan malah menyokong agenda keterjaminan makanan negeri.
“Langkah ini turut membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan serta merancakkan pembangunan industri perikanan di Sabah,” katanya ketika ditemui di sini.
Penyertaan SAFMA turut menampilkan produk makanan laut termasuk ikan segar, makanan laut sejuk beku, produk hiliran serta hidangan tradisi Sabah.
Antara menu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sepanjang pameran ialah ambuyat bersama ikan ampap dan pais ikan.
Gerai SAFMA turut menarik perhatian Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang meluangkan masa meninjau pameran itu.
Dalam lawatan berkenaan, Jamawi turut meluangkan masa menikmati hidangan tradisi ambuyat bersama ikan ampap yang disediakan khas menggunakan Ikan Rakyat Sabah.
Beliau menzahirkan penghargaan atas usaha SAFMA mempromosikan makanan warisan seiring usaha memperkenalkan hasil laut tempatan yang berkualiti serta mampu milik.
Burhan menambah, kehadiran menteri mencerminkan sokongan berterusan kerajaan negeri untuk memperkasakan industri perikanan dan mempromosikan hasil laut Sabah ke pasaran lebih luas.
