Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan jalan berturap atau konkrit sepanjang kira-kira 37 kilometer dari Kampung Meliu ke Kampung Dogoton di Pulau Banggi wajar diberi tumpuan bagi memastikan penduduk pulau terbesar negara itu tidak terus ketinggalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohamad Mohamarin berkata, projek yang dianggarkan bernilai lebih RM300 juta itu dicadangkan untuk dilaksanakan secara tiga fasa.
Menurut beliau, cadangan berkenaan telah pun dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi beliau ke Pulau Banggi pada 9 Mei lalu.
“Projek ini amat penting bagi menaik taraf jaringan perhubungan di Pulau Banggi yang ketika ini hanya mempunyai sekitar 81 kilometer jalan utama.
“Daripada jumlah itu, hanya 14 kilometer sahaja yang berturap, malah kini berada dalam keadaan yang amat uzur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini? hari ini.
Mohamad menjelaskan, keadaan jalan raya sedia ada yang rosak dan berlubang bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian penduduk, malah turut mengundang risiko kemalangan.
Kelemahan infrastruktur itu juga katanya, jelas menjejaskan aktiviti ekonomi serta kelangsungan hidup masyarakat setempat.
Tambah beliau, jaringan jalan sedia ada ketika ini masih belum meliputi beberapa kawasan strategik lain seperti Balambangan, Tanjung Manawali, Pulau Sibogo, dan Pulau Tigabu.
Beliau mengakui beberapa projek pembangunan telah diumumkan susulan lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Perdana Menteri ke pulau berkenaan sebelum ini.
Bagaimanapun, kawasan itu masih memerlukan suntikan peruntukan yang jauh lebih besar bagi mengatasi isu kekurangan kemudahan asas yang berlarutan sejak sekian lama.
Selain jaringan jalan raya, Mohamad turut meminta kerajaan mempertimbangkan pembangunan projek tenaga angin berkapasiti antara 15 hingga 50 megawatt di pulau berkenaan.
Langkah itu jelas beliau, adalah bagi memperkukuh bekalan elektrik setempat sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi serta pelaburan baharu.
Mohamad menegaskan, pembangunan infrastruktur menyeluruh amat kritikal untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat selain merapatkan jurang pembangunan antara kawasan pulau dengan tanah besar Sabah.
