Wanita GRS lantik empat pengerusi unit baru, siapsedia perkukuh jentera

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan mengadakan mesyuarat berkala di semua peringkat bagi memastikan jentera parti sentiasa tersusun.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa mesyuarat yang konsisten amat penting sebagai platform mengukuhkan gerakan parti, selain meneliti perkembangan politik serta isu-isu semasa.

“Politik adalah dinamik. Kita tidak boleh statik atau berada dalam zon selesa,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Bilik Manukan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini baru-baru ini.

Azizah berkata, Wanita GRS perlu sentiasa bermesyuarat dan menyelaras gerak kerja agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang perubahan landskap politik yang pantas.

Menurut beliau lagi, setiap pemimpin dan ahli Wanita GRS wajib memahami denyut nadi rakyat serta bertindak pantas mendepani sebarang cabaran di peringkat akar umbi.

Pada mesyuarat tersebut, beliau turut mengumumkan penubuhan lima unit strategik baharu bagi memperkasakan lagi struktur organisasi sayap parti berkenaan.

“Langkah penubuhan unit-unit strategik ini bertujuan untuk merancang serta melaksanakan program berimpak tinggi demi kepentingan masyarakat,” katanya lagi.

Bagi memastikan kelancaran unit berkenaan, Azizah memberitahu bahawa beliau sendiri akan mengetuai Unit Dasar dan Polisi.

Sementara itu, empat pengerusi unit baharu yang dilantik ialah Datuk Surinam Sadikun (Unit Ekonomi), Simi Linggom (Unit Kesihatan), Datin Atin Belynda Buntot (Unit Penerangan) serta Datin Wong Siow Lee @ Mary Wong (Unit Kebajikan).

Azizah menambah, kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesediaan jenteranya untuk terus turun padang mendampingi masyarakat secara berterusan, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Saya mahu setiap unit dan bahagian Wanita GRS bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, berdisiplin dan proaktif demi kemenangan parti,” katanya.

Tinggalkan komen