Subsidi bersasar perlu diperhalusi untuk negeri Sabah: Nizam

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel di Sabah perlu diperhalusi dengan mengambil kira realiti geografi, corak pergerakan penduduk, dan struktur ekonomi negeri yang berbeza daripada Semenanjung.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam DAbu Bakar Titingan berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan matlamat membendung ketirisan subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Beliau menjelaskan, kuota pembelian diesel bersubsidi dan syarat kelayakan yang ditetapkan ketika ini sewajarnya dinilai secara berkala berdasarkan trend serta jumlah penggunaan sebenar pasaran domestik Sabah.

“Sabah merupakan sebuah negeri yang sangat luas dengan jarak perjalanan yang jauh antara daerah, bandar, dan kawasan pedalaman.

“Bagi sebahagian besar rakyat, perjalanan untuk mendapatkan rawatan, pendidikan, urusan kerajaan, mahupun menjual hasil pertanian boleh mengambil masa berjam-jam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Nizam berkata, kebergantungan tinggi terhadap bahan api itu menyebabkan penggunaan diesel di Sabah bukan sekadar untuk mobiliti biasa, sebaliknya menjadi nadi utama rantaian ekonomi harian penduduk.

Menurut beliau, sektor kritikal seperti pertanian, perikanan, logistik pengangkutan, pembinaan, dan perusahaan kecil luar bandar masih bergantung sepenuhnya kepada kenderaan serta jentera berasaskan diesel.

“Oleh itu, fleksibiliti khusus perlu dipertimbangkan segera bagi penduduk pedalaman, petani, nelayan, dan pengusaha kecil yang menggunakan diesel untuk operasi bot, generator, serta keperluan domestik,” katanya.

Mengulas mengenai pasaran tenaga kerja muda, beliau bimbang peningkatan kos pengangkutan akan memberi impak langsung kepada golongan belia yang baru memulakan kerjaya atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Jelasnya, majoriti anak muda di negeri ini menggunakan kenderaan pikap dan pacuan empat roda untuk bergerak merentas daerah, membawa peralatan, mengurus program komuniti, serta menghantar hasil jualan.

Nizam turut menegaskan, Gagasan Rakyat menyokong penuh usaha kerajaan mengekang ketirisan subsidi, namun berharap rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat melahirkan formula pelaksanaan yang lebih adil serta praktikal.

Tinggalkan komen