Francaisi J&T Ekpress dakwa sistem penalti tidak adil

KUCHING: Sekumpulan francaisi J&T Express di Sabah dan Sarawak mendakwa dikenakan sistem penalti yang tidak adil oleh pihak francaisor sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Perkara itu dibawa kepada perhatian Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang bertemu wakil francaisi di firma guamannya pada Jumaat.

Menurut Chong, kebanyakan francaisi yang dilantik pada 2023 dan 2024 mendakwa francaisor memperkenalkan pelbagai skim penalti secara unilateral yang semakin membebankan.

“Akibatnya, komisen yang diterima daripada penghantaran bungkusan sering kali tidak mencukupi untuk menampung penalti yang dikenakan, sekali gus dilihat sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap francaisi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata francaisi juga mendakwa semua bayaran penghantaran dikutip terus oleh francaisor, yang kemudiannya membuat potongan penalti daripada komisen tanpa memberi peluang munasabah kepada mereka untuk membantah.

“Kita sudah lakukan pelbagai usaha rundingan, namun dakwaan pengenaan penalti secara sebelah pihak masih berterusan.

Sehubungan itu, Chong berkata beliau telah mengemukakan soalan lisan di Parlimen serta menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) campur tangan bagi memastikan hak francaisi dilindungi mengikut Akta Francais 1998.

Beliau turut berpendapat tindakan meminda Perjanjian Francais dan mengenakan penalti secara unilateral berkemungkinan bertentangan dengan peruntukan akta berkenaan, sambil menegaskan akan terus mengikuti perkembangan kes itu.

Tinggalkan komen