Wanita Gagasan Rakyat gesa siasatan polis segera, kekang fitnah terhadap KM

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semalam bagi menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat beberapa hantaran Facebook yang didakwa memfitnah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Laporan itu dibuat susulan hantaran oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Hamdin Nordin yang didakwa mengaitkan Hajiji dengan arahan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghalang kemasukan seorang aktivis, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, ke Sabah.

Menurut Wanita Gagasan Rakyat Sabah, dakwaan berkenaan disifatkan tidak berasas, mengelirukan dan berpotensi menjejaskan nama baik serta reputasi Ketua Menteri.

Laporan polis itu diwakili Exco Wanita Gagasan Rakyat, Julia Datuk Ahmad Bahrom Titingan dan Masturah Jamrah bersama dua ahli pergerakan berkenaan.

Pada masa sama, pihaknya turut membangkitkan satu lagi hantaran yang didakwa mengaitkan Hajiji, yang kini menunaikan ibadah umrah di Makkah, dengan watak Abu Jahal, yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap beliau.

Wanita Gagasan Rakyat berpandangan kedua-dua hantaran itu berpotensi mencetuskan kebencian terhadap Ketua Menteri, mencemarkan reputasinya serta mengganggu keharmonian awam jika tidak ditangani mengikut saluran undang-undang.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa PDRM menjalankan siasatan menyeluruh di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk jika terdapat unsur fitnah, penyebaran maklumat palsu, komunikasi jelik atau kesalahan lain.

Mereka turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dengan menyebarkan maklumat yang berasaskan fakta serta mengelakkan kandungan yang boleh mencetuskan fitnah, kebencian atau perpecahan dalam masyarakat.

Tinggalkan komen