Wanita Gagasan Rakyat pertahan autonomi imigresen Sabah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mempertahankan keputusan kerajaan negeri yang tidak membenarkan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sarafi, ke Sabah, sambil menegaskan hak autonomi imigresen negeri perlu dihormati.

Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda, berkata keputusan itu dibuat berlandaskan kuasa autonomi imigresen yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen.

Beliau berkata, autonomi imigresen Sabah bukan keistimewaan politik, sebaliknya hak perlembagaan yang diwujudkan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan negeri mempertimbangkan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri sebelum membenarkan kemasukan seseorang ke Sabah.

“Semua pihak perlu menghormati setiap keputusan berkaitan kemasukan individu ke Sabah selagi ia dibuat mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Redonah mengecam tindakan seorang aktivis belia dan mahasiswa yang didakwa mengeluarkan kenyataan serta hantaran di media sosial yang melampaui batas kesopanan dan mempertikai hak autonomi imigresen Sabah.

Beliau berkata, kebebasan bersuara yang dijamin dalam sistem demokrasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, menghasut atau membuat tuduhan tanpa asas terhadap institusi kerajaan serta kepimpinan negeri.

Katanya, hak berhimpun dan kebebasan bersuara tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menolak dakwaan yang disifatkan cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sambil menegaskan kerajaan negeri kekal komited memperkukuh tadbir urus dan integriti menerusi pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Pelan Integriti Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PIPANS), Governance, Integrity and Anti-Corruption (GIA) serta BIGoNS.

Redonah turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah dan mengamalkan budaya demokrasi yang matang berteraskan fakta, undang-undang serta rasa hormat terhadap institusi negara.

“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk melanggar undang-undang. Demokrasi yang matang menuntut kebebasan disertai tanggungjawab,” katanya.

Tinggalkan komen