SAFMA hargai jasa Isquzawan, sambut Timbalan Pengerusi baru

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) meraikan jasa dan sumbangan bekas Timbalan Pengerusinya, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, menerusi satu majlis penghargaan di sini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi SAFMA, Datuk Mohammad Mohamarin, yang turut mengalu-alukan pelantikan Khazarudin Kahar sebagai Timbalan Pengerusi baharu syarikat.

Mohammad berkata, kepimpinan SAFMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi, komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan Mohd Isquzawan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Segala sumbangan beliau amat dihargai dan menjadi antara faktor yang membantu memperkukuh hala tuju syarikat dalam memperkasa industri perikanan serta pemasaran hasil laut di Sabah.

“Kami mendoakan agar beliau terus berjaya dalam setiap amanah yang dipikul dan berharap hubungan baik yang terjalin akan terus berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam majlis makan malam bersama, di sini, pada Jumaat malam.

Jelasnya, pelantikan Khazarudin diyakini mampu memperkukuh barisan kepimpinan SAFMA dalam meneruskan agenda pembangunan syarikat serta meningkatkan daya saing industri perikanan negeri demi manfaat nelayan dan seluruh rantaian industri.

Hadir sama, Pengurus Besar SAFMA, Burhan Jafar; Timbalan Pengurus Besar, Azis Ali Amat; ahli Lembaga Pengarah SAFMA serta warga kerja syarikat.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu menjadi tanda penghargaan terhadap jasa Mohd Isquzawan, selain melambangkan kesinambungan kepimpinan SAFMA dalam meneruskan usaha memperkukuh prestasi syarikat.

Tinggalkan komen