Horizon Hotel kumpul 55 beg darah menerusi kempen derma darah tahunan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Horizon Hotel berjaya mengumpulkan 55 beg darah menerusi Kempen Derma Darah Tahunan 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama KPJ Sabah Specialist Hospital, Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan St. John Ambulans Malaysia (SJAM) Wilayah Sabah di sini, hari ini.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Horizon Hotel, Nur Idayu Bujang berkata kempen itu merupakan usaha berterusan hotel berkenaan dalam menyemai budaya kesukarelawanan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah.

Beliau berkata daripada keseluruhan individu yang hadir, seramai 18 orang tidak layak menderma selepas menjalani saringan kesihatan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan penderma dan penerima darah.

“Bekalan darah yang stabil amat penting bagi memastikan setiap pesakit yang memerlukan dapat menerima rawatan tanpa sebarang kelewatan.

“Setiap beg darah yang didermakan mampu memberi manfaat kepada beberapa pesakit dan berpotensi menyelamatkan nyawa. Kami berharap lebih ramai masyarakat tampil sebagai penderma darah kerana sumbangan kecil ini membawa impak yang sangat besar kepada mereka yang sedang berjuang mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan, di sini, hari ini.

Kempen yang diadakan di Horizon Hotel itu bertujuan membantu memastikan bekalan darah di hospital sekitar Sabah sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit, khususnya mereka yang menjalani rawatan kecemasan, pembedahan dan penyakit kronik.

Selain aktiviti pendermaan darah, pengunjung turut didedahkan dengan pengetahuan asas bantuan kecemasan menerusi sesi Basic Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) yang dikendalikan oleh SJAM Wilayah Sabah.

Program itu turut disertai wakil KPJ Sabah Specialist Hospital dan Unit Perubatan Transfusi HQE.

Sementara itu, Nur Idayu berkata kempen kali ini turut mencatat detik istimewa apabila Muammar Shauqi Marzuky, 18, menjadi penderma darah pertama kali termuda.

Shauqi (dua dari kanan) bersama keluarga turut menjadi penderma

Beliau berkata penyertaan remaja itu mencerminkan kesedaran dan keprihatinan golongan belia terhadap kepentingan menderma darah sebagai amalan yang mampu menyelamatkan nyawa.

Sebagai penghargaan, pelbagai hadiah disediakan kepada penderma selagi stok masih ada, selain kemudahan parkir percuma sepanjang program berlangsung.

Tinggalkan komen