Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa beliau kini sedang dalam usaha untuk menyediakan kertas pertimbangan berkenaan permohonan kemasukan UPKO ke dalam GRS.
“Permohonan ini akan dibawa untuk pertimbangan Majlis Tertinggi GRS.
“Selaku Setiausaha Agung, saya sedang melaksanakan libat urus dengan kepimpinan UPKO untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan untuk penyediaan kertas pertimbangan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat MT GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.
Menurut Armizan, UPKO telah menyerahkan surat permohonan rasmi untuk menjadi parti gabungan kepada GRS pada 29 Mei 2026.
“Surat itu telah diserahkan secara langsung kepada Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedict, yang turut disertai oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya lagi.
Tambah Armizan, GRS dijadualkan akan bermesyuarat pada 18 Jun 2026 dan dijangka keputusan rasmi berkenaan permohonan UPKO akan dibuat dalam mesyuarat tersebut.
“Secara prinsipnya, kita lihat hasrat UPKO ini dilihat sesuatu perkembangan yang amat positif dalam usaha menyatukan parti-parti tempatan yang mempunyai sokongan rakyat dalam satu payung gabungan.
“Hakikatnya, keputusan serta-merta dan secara sukarela UPKO untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri pasca keputusan pilihan raya umum DUN Sabah yang lalu menggambarkan keikhlasan UPKO untuk bersama dengan GRS sejak dari awal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan juga berkata bahawa UPKO juga dilihat sebagai sebuah parti yang berpengalaman dan mempunyai keupayaan dalam memperjuangkan suara rakyat Sabah.
“UPKO sebuah parti politik yang berpengalaman dan telah mempunyai legasi perjuangan yang panjang khususnya dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri.
“Apapun, yang paling penting adalah komitmen UPKO untuk berpegang teguh kepada empat teras perjuangan GRS iaitu; Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah Unite,” ujar beliau lagi.
