Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa Pelan Tindakan Food Bank Malaysia bakal dilaksanakan dalam tahun ini bagi menjadi panduan utama kepada usaha memperkasa pelaksanaan program bantuan makanan yang lebih sistematik, inklusif dan berkesan.
Katanya, pelan tindakan itu kini sedang diteliti dengan mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan sebelum ia dapat dilaksanakan.
“Saya ingin maklumkan, pelan ini adalah sebahagian daripada usaha kita, menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (IFB) bagi memperkukuh ekosistem pengurusan lebihan makanan dan membuat agihan kepada penerima atau komuniti yang memerlukan.
“Kita bercadang untuk memperkasa program Food Bank ini agar kita mampu untuk mewujudkan, menerbitkan dan menggubal Pelan Tindakan Food Bank Malaysia, dalam tahun ini juga.
“Pelan ini akan menjadi rujukan kepada pelbagai pihak dalam usaha kita menggerakkan hala tuju yang lebih sistematik, efektif dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif IFB bersama QSR Brands di sini, hari ini.
Menurut Armizan, draf Pelan Tindakan Food Bank Malaysia sudah disediakan dan kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.
“Kita sudah ada draf, cuma sekarang ini kita ingin mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh (stakeholders) dan kita sasarkan dapat melaksanakan pelan ini.
“Fokus kita adalah kepada Pelan Tindakan Sara Hidup dulu, kemudian akan disusuli dengan Pelan Tindakan Food Bank Malaysia,” jelas Armizan.
Tambah beliau, pelaksanaan pelan itu bakal menggunakan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang mana melibatkan kerjasama antara kerajaan, industri swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi yang berkaitan.
“Pendekatan berkenaan adalah penting kerana kita ingin pastikan program Food Bank bukan sahaja bergantung kepada kerajaan, tetapi juga digerakkan secara bersama melalui satu ekosistem yang teratur, kemas dan rapi.
“Dengan pendekatan ini juga, kita mampu menggabungkan peranan semua pihak agar usaha pemerkasaan program Food Bank dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa, elemen utama dalam Inisiatif Ihsan Food Bank adalah menggabungkan tiga objektif iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
“Usaha ini bertujuan memastikan lebihan makanan yang masih selamat dan berkualiti dapat diselamatkan serta disalurkan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan.
“Melalui sistem yang kondusif, pastinya kita mampu untuk memastikan lebihan makanan dapat diselamatkan, sekaligus memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti di luar sana yang memerlukan,” ujar beliau lagi.
