SEPANGGAR: Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya masyarakat Kadazandusun Murut (KDMR), malah telah menjadi simbol perpaduan rakyat Sabah yang diraikan bersama oleh semua kaum dan bangsa di Sabah.
Pengerusi Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS), Datuk Japlin Akim berkata, semangat kebersamaan yang dizahirkan menerusi sambutan Kaamatan mampu merapatkan hubungan silaturahim, memupuk persefahaman serta mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, Sabah sememangnya telah lama menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan budaya perpaduan dan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Keunikan rakyat Sabah ialah semangat kekeluargaan dan toleransi yang sentiasa menjadi amalan sejak dahulu lagi.
“Sebab itu sambutan seperti Kaamatan diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama.
“Kaamatan bukan sahaja menyatukan masyarakat, tetapi turut menjadi platform terbaik dalam mengeratkan hubungan antara pekerja dan majikan melalui pelbagai program kemasyarakatan, kebudayaan dan aktiviti kebersamaan yang dianjurkan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan bersama kakitangan Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Kelab Sosial dan Rekreasi Kakitangan CIS (CISRA) dan turut dihadiri Pengurus Besar CIS Sumardi Mohd Yusof, Pengurus Operasi Kilang Ir Rajesh Datuk Yusof, Pengurus Kanan Kualiti Alimat Anuar Salam, Pengurus Kanan Sumber Manusia Ezrie Ag Raini, barisan pengurusan serta kakitangan CIS.
Japlin berkata, hubungan baik antara pekerja dan majikan amat penting dalam mewujudkan suasana kerja yang harmoni, produktif serta saling menghormati.
Tambah beliau, nilai perpaduan, toleransi dan saling menghargai yang diterapkan menerusi sambutan Kaamatan perlu terus dipelihara demi memastikan kestabilan sosial serta kemajuan negeri Sabah dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat agar terus memperkukuhkan semangat perpaduan dan mengekalkan budaya hormat-menghormati yang menjadi kekuatan utama rakyat Sabah selama ini.
