Oleh: Zacherlyn Ad
KUNDASANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa peluasan kelayakan bagi kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berbanding hanya untuk kawasan Cameron Highland sebelum ini.
Katanya, syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran SKDS berkuat kuasa 1 Jun 2026.
“Peluasan manfaat subsidi diesel melalui SKDS kepada kenderaan jip dan pikap bagi tujuan penggunaan pengangkutan darat barangan yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan perubahan pendaftaran kenderaan atas nama syarikat.
“Untuk itu, pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan membuat pendaftaran syarikat dan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pendaftaran perniagaan di Sabah dan Sarawak pula adalah melalui pihak berkuasa yang ditetapkan mengikut undang-undang negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Armizan lagi, pemohon juga perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan lain seperti memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Penyaluran subsidi bahan api secara bersasar ini telah meningkatkan implikasi kewangan yang perlu diperuntukkan oleh Kerajaan dan sebagai contoh, subsidi bahan api petrol dan diesel yang ditanggung Kerajaan sebelum tercetusnya konflik ialah RM1.29 bilion bagi bulan Januari dan RM1.20 bilion bagi bulan Februari 2026.
“Manakala, sejak bermulanya konflik pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi petrol dan diesel telah mencecah RM5.67 bilion bagi bulan Mac, iaitu peningkatan sebanyak lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Jumlah ini tidak termasuk subsidi bahan api lain dan Kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api ini selagi mana harga minyak dunia masih pada tahap yang tinggi dan krisis tenaga berlarutan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan juga kini sedang dan akan melaksanakan strategi dan pendekatan penampan, mitigasi dan intervensi secara bersasar dan mengikut keutamaan merentasi pelbagai kementerian dan agensi untuk menangani kesan krisis tenaga dan bekalan global terhadap rakyat.
“Sehingga 20 Mei 2026, sebanyak 179,716 syarikat yang melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang berkelayakan telah mendapat manfaat subsidi petrol dan diesel.
“Ini meliputi sebanyak 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan bagi SKPS dan sebanyak 160,527 syarikat dengan 393,678 kenderaan bagi SKDS,” katanya lagi.
