Oleh: Zacherlyn Ad
KUNDASANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa pelarasan had kuota tetap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan bagi memperkukuh mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan untuk mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.
Katanya setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap di antara 900 liter hingga 5000 liter sebulan, namun tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“Jumlah had kuota ini ditetapkan berpandukan analisa penggunaan jenis pengangkutan dalam 2 tahun terkini tempoh pelaksanaan SKDS.
“Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Armizan, pertimbangan rayuan pertambahan kuota tetap bagi penggunaan melebihi had boleh dibuat kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurussetiakan oleh KPDN.
“Permohonan rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui emel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran.
“Pertimbangan akan diteliti dengan mengambil kira justifikasi keperluan sebenar operasi dan rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS sepanjang tempoh bermulanya kelulusan pendaftaran bagi kenderaan yang terlibat,” katanya lagi.
Jelas Armizan juga, kementeriannya turut menggalakkan syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel untuk membuat pendaftaran SKPS dan SKDS.
“Kaedah permohonan dan syarat-syarat kelayakan boleh disemak melalui portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my, dan pada masa yang sama, semua syarikat yang telah berdaftar dan mendapat manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS diingatkan agar bertanggungjawab terhadap setiap fleet card yang diperolehi melalui syarikat-syarikat minyak.
“Sebarang penyalahgunaan akan berhadapan dengan penggantungan fleet card secara serta-merta dan syarikat yang terlibat akan disenarai hitam,” ujar beliau lagi.
