Oleh: Zacherlyn Ad
KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) melancarkan Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Kaamatan dan Gawai bermula 27 Mei hingga 4 Jun depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari dan terdapat pertambahan beberapa barang baru yang dimasukkan ke dalam senarai jualan.
Menurutnya, sebanyak tujuh belas jenis barang harga terkawal berserta harga maksimumnya akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan dan Gawai 2026.
“Sebanyak 12 barang tertakluk dalam senarai bagi Kaamatan (Sabah) ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India), kepak ayam, cili kering kerinting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar, bawang merah tua, halia tua import dan ubi kentang (China).
“Bagi Kaamatan (Labuan) pula, sebanyak 11 senarai barang yang terlibat ialah daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India), kepak ayam, cili kering kerinting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, halia tua import dan ubi kentang (China).
“Untuk Gawai di Sarawak, ada 12 barang disenaraikan termasuk babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih (China), cili kering kerinting, kelapa biji, kelapa parut, dan santan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kaamatan dan Gawai 2026 di sini, hari ini.
Selain itu, Armizan turut menjelaskan bahawa pelaksanaan itu sesuai dengan keadaan semasa dan mampu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh pelaksanaan yang efektif.
“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan dan Gawai 2026 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
“Pegawai-pegawai kita juga akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan,” katanya.
Menurutnya, strategi itu membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku pelanggaran.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa kerajaan komited dalam usaha untuk membantu pengguna khasnya bagi mereka yang bakal memulakan perjalanan sempena musim perayaan, melalui Program Servis Ihsan MADANI @ Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
