Gagasan Rakyat pinda perlembagaan parti

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerima sokongan sebulat suara bagi pindaan perlembagaan parti yang meminda jumlah bilangan 74 bahagian kepada 26 bahagian.

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pindaan itu telah diluluskan diperingkat perbincangan parti dan akan dikemukakan kepada pihak ROS.

“Maka, selepas ini bila selesai semua, kita akan membuat kemas kini struktur parti kita, dengan berdasarkan kepada pindaan baru ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sesi sidang media selepas hadir dalam Majlis Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji ketika ditemui pemberita semasa sidang media

Menurut Hajiji, semasa perhimpunan itu, kesemua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan dari semua sayap disokong dan diterima sebulat suara.

Tambah beliau lagi, Gagasan Rakyat turut menerima kemasukan beramai-ramai ahli parti baru yang keluar dari Parti Warisan Sabah (Warisan) Keningau.

“Mereka masuk parti kita hari ini beramai-ramai dan menyatakan hasrat untuk sama-sama berjuang bersama Gagasan Rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji juga menjelaskan bahawa Gagasan Rakyat bersiap sedia untuk berdepan cabaran bagi pilihan raya akan datang.

“Dalam mesyuarat majlis tertinggi, kita juga bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan fokus kepada strategi parti serta memperkemas jentera kita mengikut parlimen,” tambah Hajiji lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan pandangan bahawa Gagasan Rakyat tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan parti lain.

“Kalau itu bertujuan untuk mendatangkan kebaikan kepada negeri, perpaduan rakyat dah kesejahteraan semuanya, maka tidak ada salahnya, ini adalah satu tujuan yang baik.

“Apa yang menjadi keutamaan kita adalah perjuangan kita dan hasrat untuk bersatu padu dalam usaha membangunkan negeri kita,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen