KBBM, fokus promosi jenama tempatan: KPDN

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia melalui inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) tampil sebagai usaha kerajaan dalam memasar dan mempromosi jenama tempatan secara lebih meluas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha itu adalah bagi menghimpunkan pelbagai pemain industri tempatan sekaligus mengukuhkan permintaan dan kebolehpasaran barangan Malaysia.

“Ini merangkumi pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, kecantikan, fesyen, kraf tangan dan perkhidmatan daripada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, hingga premium,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir dalam Majlis Perasmian Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM), di sini, hari ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Terdahulu turut berlangsung sesi forum dan bicara keusahawanan anjuran bersama Persatuan Inspirasi Wanita Sabah.

Lebih 500 peserta hadir memeriahkan acara yang turut disertai oleh 65 reruai peniaga tempatan.

Tambah Armizan, program itu yang diadakan di Kota Kinabalu adalah bagi siri pertama dan akan dianjurkan di empat lokasi lain lagi.

Dalam pada itu, Armizan dan Hajiji turut meluangkan masa berkunjung ke reruai pameran dan jualan serta sesi jualan Happy Hour bagi barang-barang Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang berlangsung serentak di Dataran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

PJRM itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok (17 Mei 2026).

Semua hadirin dijemput untuk memeriahkan acara dan membeli barang keperluan dengan tawaran harga istimewa.

Tinggalkan komen