KPDN rangka draf undang-undang, perketat hukuman salah laku fleet card

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini dalam rangka meneliti draf undang-undang berkaitan kawal selia barang kawalan bersubsidi khasnya fleet card.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kerajaan akan terus memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan fleet card dalam penyaluran subsidi bahan api melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

“KPDN sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasa penggunaan fleet card.

“Antara peraturan yg melibatkan aspek tanggungjawab pemegang fleet card dan syarikat minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.

Menurut Armizan, tindakan itu diambil susulan timbul isu salah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan ketirisan dan penyelewengan diesel.

“Ada modus operandi melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel dan petrol melalui penyalahgunaan fleet card, dan sejak 2023 hingga 14 Mei 2026, sebanyak 223 fleet card di bawah perlaksanaan SKDS dan SPKS telah disekat.

“KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat lapangan dan mana-mana pihak yang menyalahgunakan fleet card bagi tujuan penyelewengan subsidi diesel dan petrol akan dikenakan tindakan tegas,” katanya lagi.

Tinggalkan komen