Pendaftaran SKDS dibuka mulai 4 Mei: KPDN

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Fasa awal permohonan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dibuka mulai 4 Mei.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam sebuah kenyataan hari ini memberitahu bahawa kenderaan yang didaftarkan di bawah SKDS oleh syarikat-syarikat pengangkutan darat barangan yang layak boleh memanfaatkan subsidi diesel tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan adalah RM2.15 seliter dan permohonan untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan ini boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my bermula pada pukul 9.00 pagi. 

“Syarat-syarat kelayakan pendaftaran SKDS bagi kenderaan pengangkutan darat barangan ialah mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah dan aktif, berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak, Syarikat/Perniagaan/Koperasi/Perdagangan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM); dan, tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, pemohon turut diingatkan agar  menyemak kelayakan kenderaan serta syarat-syarat permohonan yang ditetapkan, termasuk membuat pemilihan kategori pendaftaran yang tepat.

“Kategori pendaftaran adalah Kategori Syarikat bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah SSM, Kategori Koperasi/PBT bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah SKM atau PBT, dan Kategori Pemilikan Tunggal bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah nombor MyKad Individu dan berdaftar dengan LPKP Sabah atau Sarawak.

“Pembelian diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat barangan akan dilaksanakan menggunakan kaedah fleet card dan bagu syarikat pengangkutan darat barangan yang telah diluluskan di bawah SKDS, permohonan fleet card perlu dibuat kepada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan surat kelulusan berserta senarai kenderaan yang boleh dicetak melalui sistem SKDS.

“Syarikat dibenarkan untuk memilih sehingga maksimum tiga syarikat minyak iaitu Petronas, Shell dan Petron untuk mengemukakan permohonan fleet card,” jelasnya. 

Dalam pada itu, KPDN juga memberitahu bahawa pemprosesan dan penghantaran fleet card dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses dalaman syarikat minyak pilihan masing-masing.

“Pada masa yang sama, tempoh sah laku surat kelulusan SKDS adalah bergantung kepada tempoh sah laku LKM atau cukai jalan kenderaan.

“Sehubungan itu, LKM atau cukai jalan kenderaan hendaklah dikemas kini sebelum 28 hari bulan setiap bulan dan tarikh tamat LKM tersebut perlu melangkaui bulan berikutnya bagi memastikan pemohon layak mendapat subsidi bulan berikutnya,” jelasnya lagi.

Pemohon yang mempunyai kemusykilan berkaitan SKDS boleh berhubung dengan  Pusat Panggilan yang tersedia antara hari Isnin hingga Jumaat, 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau boleh menghubungi Pusat Panggilan Negeri menerusi talian Pusat Panggilan KPDN W.P. Putrajaya 03-8882 5893/ 5894/5923/ 6667/ 6331/6557, Pusat Panggilan KPDN Sabah 088-484553/ 088-484368, Pusat Panggilan KPDN Sarawak 082-537700/ 082-537713 dan Pusat Panggilan KPDN W. P. Labuan 087-423152/ 087-423209.

Selain itu, pemohon juga boleh melayari laman sesawang Portal MySubsidi (https://mysubsidi.kpdn.gov.my).

KPDN juga menyeru semua syarikat/entiti perniagaan sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang layak untuk memohon kemudahan subsidi di bawah SKDS.

Tinggalkan komen