MPWS anjur bengkel kesihatan wanita, tingkat kesedaran umum

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU:  Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dengan kerjasama Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia (OGSM) serta College of Obstetricians and Gynaecologists Malaysia menganjurkan sebuah bengkel kesihatan, “Menopause and Midlife Women’s Health Workshop” yang berlangsung di sini, hari ini.

Program yang menghimpunkan barisan pengamal perubatan, profesional kesihatan, wakil agensi serta wanita daripada pelbagai latar belakang bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan wanita pertengahan usia, khususnya berkaitan menopaus, pengurusan simptom, kesihatan reproduktif serta pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Antara pengisian menarik dalam bengkel itu adalah sesi perkongsian oleh pakar kesihatan seperti Dr. Premitha Damodaran, Dr. Ng Beng Kwang, Dr. Aini Hanan Azmi, Dr. Alagammai Ramanathan serta Dr. Cynthia Govinda Kumar yang membincangkan pelbagai topik meluas.

Antaranya ialah termasuk terapi hormon, kesihatan tulang, kesihatan faraj, pengurusan HPV serta amalan gaya hidup sihat sepanjang fasa peralihan menopaus.

Turut hadir menyampaikan perkongsian bersama ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan MPWS, Felice Huang.

Bengkel yang berlangsung itu turut menyediakan sesi soal jawab antara peserta bersama pakar, selain membuka ruang jaringan profesional serta perkongsian pengalaman dalam kalangan peserta.

MPWS dalam kenyataan hari ini berkata, isu kesihatan wanita pertengahan usia perlu diberi perhatian serius.

“Hal ini kerana sering dianggap sensitif dan kurang dibincangkan secara terbuka, sedangkan ia memberi kesan besar terhadap kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial wanita.

“Melalui penganjuran bengkel seperti ini, MPWS komited untuk terus memperkasa wanita Sabah melalui pendidikan kesihatan, advokasi serta kerjasama strategik bersama institusi profesional dan agensi berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Sesi bengkel berakhir dengan perbincangan kes, rumusan bersama pakar dan acara penutupan rasmi.

Tinggalkan komen