Perlu lebih ramai peruncit bantu usaha kerajaan turunkan harga barang: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kerajaan mengalu-alukan pelaksanaan kempen penurunan harga barang selaras dengan usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat.

“Kita alu-alukan kempen turun harga barang sebagai antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat yang hingga kini masih berlarutan.

“Kita memuji usaha murni seumpama ini dan wajar dicontohi oleh lebih ramai pemain industri termasuk sub-sektor peruncitan lain sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat,” katanya.

Armizan berkata demikian kepada pemberita semasa hadir menyempurnakan majlis Kempen Turun Harga @ Bataras di sini, hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan kempen itu sangat tepat dengan hasrat kerajaan dalam menggerakkan agenda kebersamaan semua pihak melalui pendekatan seluruh negara, dalam menangani isu kos sara hidup.

Lebih 9,000 item terlibat dalam senarai barangan jualan, dengan potongan diskaun bermula daripada tiga hingga 70 peratus, daripada harga asal.

“Menerusi kempen ini, pengguna dapat berbelanja dengan harga lebih rendah dan ini adalah ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat.

“Untuk kempen ini, semua pengguna boleh membeli dengan bijak dan kempen ini berlangsung bermula 15 April hingga 30 Jun 2026, yang mana melibatkan semua cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah,” katanya. 

Terdahulu, Bataras turut menyampaikan sumbangan baucar membeli-belah berjumlah RM100 kepada 100 penerima yang layak.

Bataras juga bakal membuka enam cawangan baru di lokasi seperti Keningau, Sipitang, Sandakan, Kinarut, Lahad Datu dan Sulaman.

Selain itu, Bataras juga turut aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan termasuk sumbangan makanan ke Gaza, bantuan mangsa banjir dan bencana, seperti kebakaran yang berlaku di Sandakan baru-baru ini.

Tinggalkan komen