Syarikat yang layak boleh sedia dokumen, mohon SKDS: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyeru pemilik syarikat untuk memastikan ketersediaan semua rekod dan dokumen berkaitan, bagi memastikan proses pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) berjalan lancar.

“Sedia dengan semua dokumen dan rekod yang berkaitan seperti pendaftaran syarikat yang masih aktif dan kenderaan-kenderaan dengan cukai jalan yang sah.

“Ini penting supaya nanti apabila kita buka permohonan pendaftaran SKDS pada 4 Mei kelak, mereka dapat terus memohon dengan mudah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.

Menurut Armizan, permohonan pendaftaran bagi SKDS itu adalah sebuah usaha untuk kenderaan pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan bagi ketiga-tiga wilayah terlibat dan fasa awal perluasan ini akan melibatkan permohonan bagi pendaftaran pada 4 Mei.

“Pembelian diesel subsidi oleh syarikat pengangkutan darat barangan akan dilaksanakan menggunakan kaedah fleet card.

“Mereka perlu membuat permohonan fleet card daripada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan bersama dokumen surat kelulusan dan senarai kenderaan yang boleh dicetak daripada SKDS,” jelas Armizan lagi.

Tinggalkan komen