Mahu tonjol lebih ramai pemimpin wanita: Azizah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Penyelidikan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyeru semua pemimpin wanita untuk memperkasa aspek kepimpinan bagi memastikan lebih ramai pemimpin wanita yang berkualiti dapat ditonjolkan.

“Kita mahu anglat kepimpinan dan penglibatan wanita di Sabah kerana realitinya di Sabah ini, masih rendah lagi jumlah pemimpin wanita.

“Pasukan penyelidik kita di IDS sudah menjalankan kajian dan kita ada data, maka dengan data inilah kita tegaskan bahawa kita perlu lebih ramai pemimpin wanita, namun dalam masa yang sama kita mahu juga mereka terdiri daripada yang mempunyai kualiti dan layak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir semasa hadir merasmikan Bengkep Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah di sini, hari ini.

Azizah ketika menyampaikan ucapan perasmian

Menurut Azizah, untuk melahirkan seorang pemimpin wanita yang berkaliber, karisma dan identiti pemimpin itu sendiri harus lurus dari segi bicara.

“Jadi pemimpin itu harus lurus bicara, perlu faham dan tahu apa yang disuarakan, dibawakan dan ada persediaan rapi.

“Misalnya macam bengkel kita hari ini yang mana pengisian program diselitkan dengan ceramah, latihan dalam kumpulan (LDK), pengucapan awam dan sesi pembentangan hasil kerja.

“Dari sini kita menjana ilmu dan menerapkan nilai kebersamaan dalam menggerakkan sesuatu tugasan, sama fungsi seperti mana seorang pemimpin bekerja untuk membawa suara rakyat,” katanya lagi.

Tambah Azizah yang juga merupakan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pengalaman juga adalah aspek penting yang mampu menjadikan kredibiliti seseorang pemimpin itu diterima oleh masyarakat.

Katanya, sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati, perkasa asas yang perlu dipegang adalah berani memegang tanggungjawab yang dipikul selepas menerima mandat daripada rakyat.

“Contoh paling mudah, apabila kita jadi pemimpin, bila kita hadir ke acara, kita buat persediaan awal, kita mesti bersedia dan faham apa yang mahu diucapkan, apa perjalanan program dan disini sebenarnya menampakkan kualiti intelektual kita.

“Kita tidak boleh hentam sesuka hati bila berucap, ini menampakkan kita tidak bersedia dan inilah yang perlu dielakkan,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Azizah juga menegaskan bahawa seorang pemimpin yang berkualiti juga adalah pemimpin yang mampu menerima ilmu baru, sesuai dengan perkembangan semasa.

“Perlu sentiasa belajar, tambah ilmu baru kerana sekarang sangat pantas semua isu dikongsikan dan kita tidak boleh ketinggalan.

“Kita mesti belajar dengan sepenuh hati kerana proses menambah ilmu pengetahuan adalah proses berterusan dan tidak ada had atau limitasi masa,” ujar beliau lagi.

Seramai 35 orang peserta bengkel terdiri daripada ahli wanita GRS Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sepanggar.

Tinggalkan komen