MPWS mampu main peranan badan pemikir kerajaan negeri: Pengerusi

KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) mampu memainkan peranan sebagai badan pemikir Kerajaan Negeri khasnya bagi merangka dasar serta strategi pemerkasaan wanita yang lebih mampan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki berkata, MPWS komited untuk memastikan semua usaha yang dilaksanakan mampu menjana impak positif berterusan untuk pembangunan wanita di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir dalam sebuah kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Menurut beliau, kunjungan itu adalah bagi membentangkan pencapaian serta hala tuju strategik usaha pemerkasaan wanita di Sabah.

Hadir sama semasa sesi kunjunhan itu ialah Timbalan Pengerusi Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.

Antara yang dibentangkan dalam pertemuan itu adalah pelaksanaan program Global Women Leaders (GLOW) yang memberi tumpuan pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.

“MPWS sudah melaksanakan program penilaian pada 2025 bagi mengenal pasti tahap kepimpinan wanita sedia ada dalam ketiga-tiga segmen itu, dengan seramai 75 peserta terpilih untuk mengikuti program susulan yang lebih intensif. 

“Melalui usaha ini, kita fokus kepada usaha meningkatkan tahap pendidikan, memperkukuh keusahawanan khasnya bagi dalam sektor makanan, kosmetik dan kraf tempatan, serta mengetengahkan bakat kepimpinan wanita agar lebih berdaya saing di peringkat global,” jelasnya.

Katanya, MPWS turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Ketua Menteri untuk merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan bakal berlangsung pada 4 September 2026.

“MPWS juga bercadang untuk menganjurkan Simposium Pemimpin Wanita pada bulan yang sama sebagai platform memperkasa jaringan serta kepimpinan wanita di negeri ini.

“Kita ingin merakamkan penghargaan kepada JHEWA atas peranan penting dalam menyelaras kunjungan berkenaan.

“Kita berbesar hati dengan sokongan berterusan kerajaan negeri serta kerjasama rakan strategik, MPWS komited memastikan wanita Sabah terus menjadi pemacu utama dalam agenda pembangunan negeri selaras dengan visi Sabah Maju Jaya,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen