Gong xi raya, erat perpaduan dan jalinan kekeluargaan: Azizah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Sambutan Majlis Gong Xi Raya anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dilihat berpotensi menjadi platform bermakna dalam usaha bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kerja dan tetamu.

Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, sambutan yang menggabungkan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina itu adalah cerminan kepada keunikan masyarakat majmuk di Sabah dan Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

“Majlis seperti ini memberi ruang untuk kita berkumpul dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan. Ia bukan sekadar menikmati juadah seperti ketupat, rendang dan pelbagai hidangan lain, tetapi menjadi simbol kesyukuran, perkongsian rezeki serta hubungan yang dipereratkan.

“Selain itu, apabila kita himpunkan perayaan dan kita raikan bersama rakan sekerja, ini sebenarnya dapat menyucikan hati dan memulihkan kembali hubungan sesama kita andai ada yang keruh sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Gong Xi Raya IDS 2026 di Wisma IDS di sini, hari ini.

Azizah ketika berucap

Menurut Azizah, tradisi Yee Sang yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina turut membawa makna simbolik harapan baharu yang lebih baik, kemakmuran serta kejayaan.

“Ia melambangkan penyatuan dan semangat untuk terus melangkah bersama sebagai sebuah keluarga kerja yang harmoni, saling menyokong serta komited mencapai kecemerlangan dalam setiap amanah.

“Di sini kita lihat, bukan hanya komuniti bangsa Cina merayakan Tahun Baru Cina dan bukan hanya komuniti Melayu yang merayakan Aidilfitri, tetapi kita semua berkongsi, inilah perpaduan kita,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Azizah juga turut menegaskan bahawa kualiti perhubungan sesama rakan sekerja atau dalam organisasi, kumpulan dan pasukan dapat ditingkatkan dengan adanya keakraban dan saling mendukung antara satu sama lain.

“Bila kita semua dalam sebuah organisasi, bekerja bersama, mampu bertoleransi dan kita saling menjaga hubungan serta etika, kesannya adalah pasti menjadi positif kepada hasil produktiviti dan membawa kejayaan untuk kita sendiri.

“Inilah pentingnya untuk kita masing-masing sentiasa memegang kepada prinsip untuk bekerja dalam suasana harmoni dan mengelakkan sebarang persengketaan,” katanya lagi.

Selain itu, Azizah turut mengingatkan bahawa dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pergolakan global, konflik peperangan, ketidaktentuan ekonomi, krisis iklim serta turun naik harga minyak.

“Dalam apa jua keadaan, kita harus sentiasa bersyukur atas nikmat keamanan dan kestabilan yang kita kecapi.

“Amalan bersederhana dan sikap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan adalah penting,” katanya.

Beliau juga menasihatkan agar masyarakat berbelanja secara berhemah dan tidak berlebihan, khususnya dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Bersederhana bukan satu kekurangan, tetapi satu kebijaksanaan. Pengurusan kewangan yang baik penting untuk menjamin kestabilan kehidupan kita dan keluarga,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai juga mesti memberi perhatian terhadap aspek kesihatan, khususnya dalam keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

“Pastikan kita minum air secukupnya, kurangkan aktiviti di bawah terik matahari dan sentiasa menjaga kesejahteraan diri serta keluarga,” katanya lagi.

Tinggalkan komen