Aktiviti seleweng diesel subsidi tumpas

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Jalan Bunga Raya, Kepayan, kelmarin.

Ops Tiris itu dijalankan hasil serbuan pada pukul 10.30 pagi, dan anggaran sebanyak 16,180 liter minyak diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dan peralatan telah disita dengan nilai anggaran berjumlah RM34,650.00. 

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Peter J. Berinus Agang berkata seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20an yang dipercayai bertanggungjawab berada di lokasi serbuan turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan.

“Serbuan yang kita jalankan ini adalah melalui maklumat dan aduan orang awam serta risikan pegawai penguat kuasa yang telah dijalankan oleh selama dua minggu oleh Pejabat KPDN Sabah.

“Siasatan awal mendapati premis tidak mempunyai lesen sah dan kebenaran untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan dan untuk itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 disyaki memiliki barang kawalan kawalan tanpa kebenaran pengawal,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, mana-mana individu yang disyaki di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), boleh disabit kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kita ingin menasihati semua pengusaha stesen minyak agar tidak menjual minyakpetrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDN.

“Pemilik station boleh disiasat dan dikenakan tindakan di bawah subperaturan 12A Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal mematuhi arahan pengawal ke atas mana-mana pemilik stesen minyak yang terbabit,” katanya lagi.

Tambah beliau, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan barang kawalan yang melibatkan minyak petrol RON95 dan diesel diseluruh negeri.

“Kita menyeru orang awam agar sentiasa menjadi mata dan telinga bagi membantu kita dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan ianya dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara.

“KPDN Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga,” tambah beliau lagi.

Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan seperti berikut:

1) Whatsapp 019 279 4317 / 019 848 8000

2) Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my

3) Call Centre 1 800 886 800

4) Emel: e aduan@kpdn.gov.my

5) Aplikasi Ez ADU KPDN

6) Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command

(Enforcement Command Centre): 03 –– 8882 6088 / 6245

7) Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan.

Tinggalkan komen