Van bawa rokok seludup ditahan

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Sebuah van yang membawa hampir 700,000 batang rokok seludup bernilai lebih RM1 juta berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah selepas dikejar hampir satu jam dalam kejadian di Kampung Titingan awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2.20 pagi apabila sepasukan Unit Gempur Marin (UNGGERIN) mengesan van putih yang mencurigakan di kawasan perumahan Icebox.

“Pemandu van bertindak melarikan diri sebaik diarahkan berhenti, menyebabkan berlaku kejar-mengejar selama hampir sejam sebelum van itu berjaya dihentikan di Kampung Titingan,” katanya.

Pemeriksaan lanjut menemui longgokan plastik hitam berisi pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Jumlah keseluruhan rampasan mencecah 678,400 batang rokok dengan nilai dianggarkan sebanyak RM1,011,630.

Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang memandu van itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada IPD Tawau, IPD Kunak dan Unit Risikan PPM Tawau.

Mohd Nazri menegaskan PPM Wilayah 4 akan terus memperketat kawalan di kawasan hotspot penyeludupan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti haram.

Kes kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan di negeri ini.

Tinggalkan komen