Maritim Kudat gagalkan cubaan migran masuk secara haram

Oleh: Sumayyah Rihanna

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya mematahkan cubaan sekumpulan migran memasuki perairan Sabah secara haram, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, tindakan itu susulan maklumat daripada Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah yang mengesan pergerakan sebuah bot mencurigakan sekitar pukul 6.30 petang.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot berkenaan enggan berhenti dan memecut laju sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar selama beberapa minit.

“Bot tersebut akhirnya berjaya dipintas kira-kira 10.22 batu nautika barat Tanjung Kalutan, berhampiran perairan barat Pulau Balambangan, Banggi.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang tekong, seorang kru dan lapan penumpang terdiri daripada empat wanita serta empat lelaki berusia 19 hingga 40 tahun,” katanya. 

Kesemua mereka bersama bot dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Hasbullah turut menggesa komuniti maritim di sekitar perairan Kudat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan ke Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

Tinggalkan komen